Mohammad Hanis tamat tempoh sebagai CEO Bank Rakyat
KUALA LUMPUR, 9 NOVEMBER 2024 – Bank Rakyat hari ini mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Bank tersebut, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman akan menamatkan tempoh perkhidmatannya bagi mengejar peluang baharu.
Beliau yang telah berkhidmat selama 15 tahun di Bank Rakyat, dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif sejak 1 April 2022, sebelum memegang teraju sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 1 Julai 2022.
Dalam satu kenyataan, Bank Rakyat merakamkan penghargaan kepada Dato’ Dr. Mohammad Hanis atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh beliau dalam memastikan kesinambungan pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) dilaksanakan dengan baik untuk mencapai matlamat dan aspirasi yang dirangka.
“Pelbagai pencapaian dan pengiktirafan turut berjaya diraih sepanjang tempoh beliau menerajui kepimpinan Bank Rakyat. Semasa kepimpinannya, Bank Rakyat telah diiktiraf sebagai jenama paling pesat berkembang di Malaysia mendahului jenama perbankan lain, menurut laporan perunding penilaian jenama terkemuka, Brand Finance Malaysia 2023.
“Justeru, Bank Rakyat berterima kasih atas dedikasi dan sumbangan besar beliau sepanjang beliau memimpin Bank berkenaan,” ujar Bank Rakyat.
Sehubungan dengan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan, Ahmad Shahril Mohd Shariff, akan menggantikan beliau sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat bermula 9 November 2024. Pelantikan ini bertujuan untuk memastikan kesinambungan kepimpinan dan operasi Bank Rakyat berjalan lancar.
Ahmad Shahril mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam industri perbankan dan kewangan serta kelayakan akademik yang luas. Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dan Perakaunan dari University of Salford, United Kingdom serta Ahli Bertauliah di Chartered Institute of Islamic Finance.
“Pelan peralihan ini membuktikan komitmen Bank Rakyat untuk terus memberikan nilai kepada pelanggan dan pemegang berkepentingannya. Kami yakin pelantikan ini akan terus membawa Bank Rakyat ke hadapan sambil mencapai objektif strategik kami.
“Bank Rakyat juga telah merangka pelan penggantian untuk pengisian jawatan Ketua Pegawai Eksekutif yang akan diumumkan kelak,” ujar Bank Rakyat.