Mohamaddin nafi hina anggota keselamatan, kenyataan disalah erti
CALON Warisan bagi Pilihan Raya Negeri Sabah Datuk Mohamaddin Ketapi menafikan beliau menghina anggota keselamatan dalam insiden berdarah di Kampung Tanduo, Sandakan, Sabah pada tahun 2013.
Mohamaddin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Segama berkata, kenyataannya semasa berkempen di Kampung Wawasan telah disalah ertikan.
Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata, video yang tular di media sosial itu seharusnya dimainkan sepenuhnya dan mengutuk sekeras-kerasanya permainan kotor pihak tertentu yang mahu menjatuhkan maruah Parti Warisan Sabah.
“Saya tidak pernah sama sekali memperkecilkan apatah lagi menghina anggota keselamatan kita yang telah berjuang bermati-matian untuk menjaga kedaulatan negara daripada pencerobohan.
“Ketika memberikan ceramah tersebut, saya memberikan gambaran akan kesukaran yang dihadapi oleh anggota keselamatan kita dalam mempertahankan kedaulatan negara yang berpunca daripada kelemahan kerajaan terdahulu dalam menyelesaikan isu pendatang tanpa izin,” kata Mohamaddin.
Menurutnya, jika isu pendatang tanpa izin menjadi keutamaan kerajaan terdahulu insiden di Tanduo tidak mungkin berlaku.
Dalam kenyataannya, Mohamaddin turut meminta maaf sekiranya video yang ditularkan dengan niat jahat tersebut menghiris hati anggota keselamatan.
“Oleh yang demikian, saya sekali lagi ingin menengaskan bahawa saya sama sekali tidak menghina anggota keselamatan kita yang bertugas semasa kejadian di Tanduo seperti yang diputarbelitkan oleh pihak lawan khususnya parti di Semenanjung.
“Walaubagaimanapun, saya ingin memohon maaf sekiranya video yang ditularkan dengan niat jahat tersebut mengguris hati anggota-anggota keselamatan keseluruhannya,” kata Mohamaddin.
Hari ini viral di media sosial klip ucapan Mohamaddin yang mendakwa insiden berdarah berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 sebagai sandiwara.
“Kamu ingat dahulu PRU dahulu dia bilang Filipina mau ambil Sabah jadi ada peperangan konon di Tanduo datang la jet di Tanduo dibomnya sana kelapa sawit orang. Habis kelapa sawit orang.
“Habis rumah orang ditembak. Ini kenyataan. Habis di Tandou disuruh kereta kebal masuk pergi kampung-kampung suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tidak ada. Ayam sama anjing dia berperang.
“Apabila habis pilihan raya sudah tidak ada pulak peperangan itu,” kata Mohamaddin dalam klip video yang tular di media sosial hari ini.-SM