Politik

Tanduo: Menteri Pertahanan seru anggota keselamatan tidak undi calon Warisan Plus

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta rakyat Sabah terutama anggota keselamatan tidak memberi undi kepada calon Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri.

Ismail Sabri berkata, kenyataan pemimpin Warisan Datuk Muhamaddin Ketapi bahawa insiden Tanduo adalah satu sandiwara merupakan penghinaan kepada anggota keselamatan dan rakyat Sabah

“Menuduh dengan sewenangnya bahawa peristiwa pencerobohan di Tanduo pada tahun 2013 adalah “sandiwara” merupakan penghinaan nyata beliau kepada seluruh rakyat Sabah khususnya anggota-anggota keselamatan yang terdiri dari pelbagai agensi.

“Dalam peristiwa itu seramai 10 orang anggota keselamatan kita terkorban dan beliau menyatakan bahawa perwira yang terkorban ini merupakan korban politik sesetengah pihak. Terkorban kerana perencanaan politik,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Menurut Ismail Sabri, setiap anggota keselamatan menyabung nyawa untuk mempertahankan kedaulatan tanah Sabah dan bumi Malaysia dari serangan pengganas yang menyeberangi lautan dari Pulau Siminul Filipina untuk memastikan rakyat dan bumi Malaysia tidak di takluk atau diceroboh.

Ismail Sabri berkata, keamanan yang Mohamaddin nikmati hari ini hasil dari semua pejuang-pejuang yang terdiri dari anggota-anggota keselamatan pelbagai agensi yang menggadaikan nyawa setiap saat dan waktu untuk memastikan keamanan.

“Saya mengajak seluruh rakyat Sabah dan terutamanya anggota-anggota keselamatan ATM, PDRM, APMM dan ESSCOM untuk menolak politik penghinaan ini untuk tidak sesekali menyokong atau memberikan undi kepada mana-mana calon dari parti Warisan dan sekutu mereka dalam Warisan Plus yang jelas menghina seluruh anggota yang bertugas untuk mempertahankan negara dan bumi Sabah selama ini,” kata Ismail Sabri.

Mohamaddin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Segama menjadi tumpuan apabila video ceramanhnya  menjadi viral di media sosial.

“Kamu ingat dahulu PRU dahulu dia bilang Filipina mau ambil Sabah jadi ada peperangan konon di Tanduo datang la jet di Tanduo dibomnya sana kelapa sawit orang. Habis kelapa sawit orang.

“Habis rumah orang ditembak. Ini kenyataan. Habis di Tandou disuruh kereta kebal masuk pergi kampung-kampung suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tidak ada. Ayam sama anjing dia berperang. Apabila habis pilihan raya sudah tidak ada pulak peperangan itu,” kata Mohamaddin dalam video tersebut.

Beliau yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mendakwa, insiden di Tanduo adalah sandiwara.

“Tetapi apabila ketika itu kononnya UMNO akan kalah pada PKR terus ada perang di Tanduo. Banyak orang mati disebabkan sandiwara itu. Sandiwara membunuh orang sahaja,” kata Mohamaddin dalam video berkenaan.

Bagaimanapun Mohamaddin dalam satu kenyataan mendakwa, klip video tersebut tidak disiarkan sepenuhnya untuk mengambarkan maksud sebenar ucapannya.

Mohamaddin berkata, ucapannya semasa berkempen di Kampung Wawasan itu telah disalah ertikan.

“Saya tidak pernah sama sekali memperkecilkan apatah lagi menghina anggota keselamatan kita yang telah berjuang bermati-matian untuk menjaga kedaulatan negara daripada pencerobohan.

“Ketika memberikan ceramah tersebut, saya memberikan gambaran akan kesukaran yang dihadapi oleh anggota keselamatan kita dalam mempertahankan kedaulatan negara yang berpunca daripada kelemahan kerajaan terdahulu dalam menyelesaikan isu pendatang tanpa izin,” kata Mohamaddin.

Dalam kenyataannya, Mohamaddin turut meminta maaf sekiranya video yang ditularkan dengan niat jahat tersebut menghiris hati anggota keselamatan.

“Oleh yang demikian, saya sekali lagi ingin menengaskan bahawa saya sama sekali tidak menghina anggota keselamatan kita yang bertugas semasa kejadian di Tanduo seperti yang diputarbelitkan oleh pihak lawan khususnya parti di Semenanjung.

“Walaubagaimanapun, saya ingin memohon maaf sekiranya video yang ditularkan dengan niat jahat tersebut mengguris hati anggota-anggota keselamatan keseluruhannya,” kata Mohamaddin.-SM

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button