PRK

Mohamad Alamin calon BN untuk PRK Kimanis

KETUA UMNO Bahagian Kimanis, Mohamad Alamin dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil parlimen Kimanis.

Sebelum pengumuman dibuat, BN Sabah turut mengadakan mesyuarat yang turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Mohamad berterima kasih kepada pimpinan BN pusat dan Sabah atas kepercayaan diberikan kepadanya sebagai calon BN pada PRK Parlimen Kimanis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan ini manakala penamaan calon pada 4 Jan dan pengundian awal pada 14 Jan.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Dis mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam PRU14 pada Mei 2018.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU14, Anifah yang juga bekas menteri luar bertanding atas tiket BN dan memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi apabila memperoleh 11,942 undi.

Anifah mengumumkan keluar UMNO, parti komponen BN pada September 2018 dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas.

Pada 18 Jun 2018, Karim memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan Anifah.

Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis mengandungi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.- BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button