Modus operandi seludup petrol ke negara jiran
MACAM-MACAM cara yang dilakukan untuk menyeludup petrol sehingga buat paip minyak rentas negara.
Perbuatan ini dilakukan oleh sindiket penyeludupan di sempadan Kelantan-Thailand bagi memudahkan mereka salurkan petrol Malaysia ke Thailand.
Paip getah sepanjang 300 meter itu disambung merentasi Sungai Golok melalui dasar sungai ke negara jiran bagaimanapun berjaya dikesan Batalion ke 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) hasil Op Benteng COVID-19.
Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, kegiatan penyeludup itu dikesan oleh anggotanya yang membuat rondaan di Pangkalan Haram Kertas di Gual Tok Deh, Rantau Panjang semalam.
“Anggota pasukan telah mengesan sebuah kenderaan yang dilihat mencurigakan pada pukul 9 pagi yang memasuki pangkalan haram dan kemudiannya pasukan tersebut telah menyerbu kenderaan tersebut,” katanya.
Nor Azizan berkata, pemeriksaan yang dilakukan dalam kenderaan tersebut telah berjaya menemukan dua tong berwarna putih berisi petrol dan dijumpai juga dua tong berisi petrol dan enjin pam lengkap dengan paip getah menuju ke pembentong simen berhampiran kawasan tersebut.
“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan di dalam lubang pembentong itu menemukan satu lagi enjin pam dengan saluran paip dipasang menuju ke dasar sungai, terus ke tebing sungai di negara jiran dan disyaki digunakan untuk kegiatan penyeludupan bahan api.
Menurut Nor Azizan, pemandu kenderaan berusia 40-an telah ditahan bagi soal siasat di Balai Polis Rantau Panjang manakala semua barang dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan itu dirampas.
Tambahnya, anggaran bagi rampasan adalah bernilai RM15,522 termasuk kenderaan, petrol serta peralatan yang digunakan.
“Kesemua barang dan kes diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. -UtusanTV – SM