Nasional

Malaysia-Indonesia akan meterai MoU kerjasama pertahanan menyeluruh

Malaysia dan Indonesia akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bulan depan yang memfokuskan terhadap kerjasama pertahanan menyeluruh antara kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, perjanjian itu adalah yang pertama seumpamanya antara Malaysia dan Indonesia.

Perkara tersebut dibincangkan dalam lawatan kerja selama sehari Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto ke Malaysia hari ini.

“Kedua-dua belah pihak sepakat untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan sedia ada antara Malaysia dan Indonesia.

“Malah, hari ini bangga untuk kami maklumkan bahawa buat pertama kalinya satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang memfokuskan terhadap kerjasama pertahanan menyeluruh antara Malaysia-Indonesia bakal dilaksanakan dan ditandatangani awal tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Lawatan sehari Prabowo dimulakan dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.

Sejurus selesai, Prabowo mengunjungi Kementerian Pertahanan dan telah menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD).

Ia kemudiannya disusuli dengan mesyuarat dua hala yang telah menyentuh beberapa perkara penting khususnya berkaitan perihal keselamatan dua hala dan serantau.

Sementara itu Malaysia dan Indonesia berkongsi pandangan dan pendirian negara masing-masing mengenai Kerjasama Pertahanan Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom (AUKUS).

Hishammuddin berkata, Malaysia tegas bahawa pembentukan AUKUS melahirkan kegusaran kerana ia berpotensi mengganggu gugat keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.

“Ia juga bakal memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

“Sebagai negara ASEAN, Malaysia dan Indonesia harus bersama-sama memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

“Semua pihak harus hindari sebarang tindakan ketenteraan yang provokatif atau berpotensi tingkatkan ketegangan serta cetuskan konflik di Laut China Selatan,” katanya.

Menurut Hishammuddin, sebarang masalah, perbezaan dan pertikaian perlu ditangani, konsisten dan jelas menerusi dialog dan rundingan.

Hishamuddin dan Prabowo turut berbincang mengenai inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement yang telah dimulakan pada 2017 oleh Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Kedua-duanya sepakat untuk sekali lagi meningkatkan kerjasama menerusi TCA di peringkat Menteri Pertahanan ketiga-tiga negara.

Satu mesyuarat peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan usaha ke arah mengukuhkan lagi inisiatif TCA.-SM

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button