Nasional

Miskin bandar sewaktu PKP perlu diberi perhatian – Tok Mat

LAPORA terkini Families on the Edge (Siri Ogos 2020) yang diterbitkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) adalah penting untuk memahami realiti kehidupan miskin bandar semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia.

MOHAMAD HASAN

Merujuk kepada laporan tersebut, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, keluarga berpendapatan rendah amat terjejas dengan realiti tersebut. Statistik menunjukkan bahawa satu daripada empat ketua isi rumah menganggur semasa pelaksanaan PKP manakala 31% mengalami potongan waktu bekerja.

Akibatnya, kata beliau, jumlah pendapatan median bulanan menurun dari RM1,500 pada tahun 2019 ke RM1,000 pada tahun 2020.

Katanya, keupayaan golongan tersebut mendepani krisis COVID-19 terhalang disebabkan simpanan yang kurang mencukupi dan akses yang terhad kepada perlindungan keselamatan sosial pekerjaan, selain kewujudan individu berkeperluan khas dalam isi rumah seperti warga emas, orang kelainan upaya dan pesakit kronik.

“Situasi yang lebih membimbangkan adalah hanya 1 daripada 4 isi rumah mampu menyimpan wang semasa PKP; dan daripada bilangan yang kecil ini, hanya 1 daripada 6 isi rumah mempunyai simpanan yang cukup untuk bertahan lebih daripada tiga bulan.

“Tambahan pula, golongan wanita sebagai ketua isi rumah berpendapatan rendah paling terjejas sepanjang pelaksanaan PKP. Keadaan ini membawa kepada kadar pengangguran yang lebih tinggi dan pandangan yang jauh lebih pesimistik berkenaan prospek pemulihan dalam enam bulan akan datang. Kanak-kanak dalam keluarga ini pula berdepan dengan kemunduran kualiti pendidikan ekoran kekurangan kelengkapan e-pembelajaran.

“Natijahnya, Kerajaan Malaysia perlu mengiktiraf kepentingan penemuan laporan ini dan mengutamakan pendekatan yang inklusif dalam usaha memulihkan ekonomi Malaysia, bukannya pendekatan ekonomi ‘menitis ke bawah’ (trickle down-economics),: katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, walaupun ekonomi Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai pemulihan pada tahun 2021, namun ciri keterangkuman tidak boleh diabaikan sama sekali.

Katanya, pembangunan dan pemulihan perlu dirasai oleh semua rakyat Malaysia, terutamanya golongan yang miskin, minoriti, terasing dan terpinggir.

“Pertama, Kerajaan perlu mengutamakan strategi pemerkasaan ekonomi bagi membina kapasiti golongan berpendapatan rendah dalam mencari peluang pekerjaan. Contohnya, program latihan kemahiran, program pembangunan masyarakat setempat dan kemudahan kredit mikro perlu diperluaskan bagi golongan miskin bandar.

“Kedua, proses pendaftaran untuk mendapatkan bantuan perlu ditambah baik dan dipermudahkan supaya mereka yang layak tidak tercicir. Perkara ini penting kerana masih terdapat individu yang menghadapi kesukaran untuk mengakses bantuan seperti cabaran buta huruf, masalah prosedur, tidak memenuhi syarat kerana pendaftaran perniagaan dengan SSM, masalah logistik, dan isu ‘kronisme’ (seperti yang dilaporkan oleh UNICEF dan UNFPA).

“Ketiga, bantuan khas untuk ibu tunggal dan ketua isi rumah wanita perlu ditingkatkan dan diperluaskan kerana golongan ini paling terkesan daripada pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP. Bantuan tersebut penting untuk meringankan beban 32% ketua isi rumah wanita yang menganggur dan 57% yang tidak mempunyai perlindungan sosial pekerjaan.

“Dengan ini, Kerajaan perlu mempertimbangkan polisi sementara pendapatan asas sejagat (universal basic income) untuk golongan berpendapatan rendah di Malaysia. Polisi ini amat diperlukan demi menjamin pendapatan yang mencukupi untuk semua penduduk Malaysia. Pendapatan tersebut mampu meringankan bebanan mereka dari segi makanan dan barangan keperluan asas sepanjang tempoh kemelesetan ekonomi ini,” katanya.

Seterusnya, kata beliau, keupayaan perkhidmatan kesihatan awam negara perlu dimajukan dengan meningkatkan bajet Kementerian Kesihatan.

Katanya, perkara itu penting untuk memastikan golongan berpendapatan rendah terutamanya warga emas yang terpaksa menunda rawatan bagi penyakit lain tidak terus diabaikan.

“Pendek kata, sesiapa pun tidak patut ketinggalan dalam arus pemulihan ekonomi Malaysia,” ujar beliau. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button