Politik

Sekolah vernakular: Wan Fayshal tak perlu politikkan pendidikan

Gesaan ‘menutup sekolah vernakular’ tidak harus dikelirukan sebagai ‘memperkuat sekolah kebangsaan’ kerana kedua-duanya bukan perkara yang sama.

Jurucakap Parlimen Keadilan bagi pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, menutup sekolah vernakular tanpa meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan tidak akan membantu meningkatkan kualiti pendidikan atau perpaduan nasional.

“Ketika Singapura menutup sekolah vernakular Cina, Tamil dan Melayu, mereka melakukannya dengan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan dan majoriti besar setiap komuniti Cina, India dan Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan Singapura.

“Fokus sebaliknya haruslah mengenai peningkatan gaji guru, keadaan kerja guru sekolah kebangsaan, memperbaiki kemudahan, mengemaskini kurikulum dan menghapuskan campur tangan politik,” tegas Nik Nazmi.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu menyindir pihak yang bertegas mahu menutup sekolah vernakular tetapi pada masa yang sama membisu mengenai percambahan bilangan sekolah antarabangsa yang berterusan di Malaysia.

“Bukankah institusi seperti itu juga merupakan “ancaman” terhadap perpaduan nasional dan kedudukan bahasa Kebangsaan?

“Adakah kerana beberapa pemimpin parti-parti Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah seperti itu? Mat Dan dan Rhys Williams lebih fasih berbahasa Melayu berbanding anak-anak pemimpin-pemimpin Melayu ini,” kata Nik Nazmi.

Jelas beliau, jalan terbaik pendidikan di Malaysia adalah memperkukuhkan sekolah kebangsaan untuk menjadikannya pilihan pertama semua ibu bapa tanpa mengira kaum atau darjat.

“Saya menyedari kewujudan sekolah vernakular menjadi cabaran untuk pembinaan negara di Malaysia. Saya secara peribadi telah memilih untuk menghantar anak saya ke sekolah kebangsaan. Saya yakin aliran nasional adalah jalan terbaik untuk mewujudkan Bangsa Malaysia.

“Cuma, saya percaya pada pilihan ibu bapa. Saya percaya pilihan terletak di tangan ibu bapa – dan bukannya birokrat, lebih-lebih lagi ahli politik yang ada kepentingan peribadi. Pandangan ibu bapa tentang bagaimana mereka mahukan anak-anak mereka dididik perlu didengar,” tegas Nik Nazmi.

Beliau mengulas saranan Ketua Armada yang baharu dipilih Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menggesa kerajaan memansuhkan sekolah vernakular secara berperingkat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, usaha berkenaan perlu menjadi keutamaan agenda nasional dan bukannya digunakan sebagai bahan politik untuk sekadar meraih undi.

Nik Nazmi mendakwa gesaan Wan Fayhsal untuk menghapuskan sekolah vernakular menunjukkan bahawa beliau hanya mahu mempolitikkan pendidikan.

“Wan Fayhsal perlu konsisten. Walaupun beliau bukan anggota Kabinet seperti yang pernah didakwanya, sebagai Timbalan Menteri beliau adalah anggota pentadbiran. Beliau harus konsisten dengan kebijakan kerajaan dan tidak bertentangan dengan mereka.

“Saya juga ingin bertanya: apakah rakan-rakannya yang baru muncul di Bersatu; Edmund Santhara Kumar, Ali Biju dan Willie Mongin menyokong komen pemimpin Ketua Pemuda parti mereka?

“Akan menjadi menarik jika mereka melakukannya, memandangkan Bersatu sekarang dikatakan menjadi parti berbilang kaum dengan kemasukan Azmin Ali dan kumpulannya,” kata Nik Nazmi.-SM

 

(Visited 245 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button