Nasional

Misi ekonomi produk agrikomoditi KPK ke India perkukuh hubungan dua hala

MENTERI Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengetuai delegasi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam Misi Ekonomi Produk Agrikomoditi Malaysia ke India pada 17 hingga 18 Julai 2024 di New Delhi, India.

Misi ini bertujuan bagi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala serta meneroka peluang peningkatan kerjasama dan kolaborasi baharu antara Malaysia dengan India terutamanya dalam sektor Agrikomoditi.

Johari bersama anggota delegasi dijadual akan mengadakan Kunjungan Hormat kepada Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India bagi membincangkan isu-isu dan cadangan kerjasama perdagangan sektor Agrikomoditi kedua-dua negara.

Selain itu, beliau akan mengadakan mengadakan sesi libat urus bersama pemain-pemain industri minyak sayuran India serta bakal menyampaikan ucaptama dalam India Vegetable Oil Producers’ Association (IVPA) Global Roundtable 3.0 anjuran India Vegetable Oil Producers’ Association (IVPA) yang turut dihadiri barisan kenamaan dan pemimpin industri minyak sayuran India.

India merupakan destinasi eksport terbesar bagi kelapa sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia, dengan nilai eksport berjumlah RM13.28 bilion atau 13 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport sawit negara di pasaran
antarabangsa pada tahun 2023.

Kementerian berharap agar pelaksanaan misi ini dapat merancakkan lagi perkembangan sektor Agrikomoditi negara, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan erat antara Malaysia dan India. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button