Luar Negara

Mesir setuju buka sempatan Rafah ke Gaza

20 lori bawa bantuan kemanusiaan

PRESIDN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semalam berkata, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi bersetuju untuk membuka sempadan Rafah ke Gaza bagi membenarkan kemasukan 20 lori membawa bantuan kemanusiaan, lapor portal The National News.

Biden berkata, beliau bercakap dengan Sisi selepas melawat Israel di mana pemimpin itu bersetuju untuk membenarkan bantuan itu masuk.

“Sisi bersetuju untuk sehingga 20 lori (masuk ke Gaza ) melalui (Rafah) sebagai permulaan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, ia mungkin mengambil masa sehingga Jumaat sebelum bantuan itu sampai ke Gaza berikutan keadaan jalan raya yang teruk.

Biden menamatkan lawatan singkat ke Israel di mana beliau mengesahkan komitmen AS terhadap keselamatan Israel dan menyeru bekalan kemanusiaan untuk memasuki Gaza.

Lori-lori yang membawa bantuan kritikal ke Semenanjung Gaza yang dikepung, sudah terkandas di sempadan Mesir selama beberapa hari.

Terdahulu semalam, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, beliau tidak akan membenarkan bantuan masuk melalui sempadannya dengan Gaza, tetapi tidak akan menghalang bantuan itu masuk melalui lintasan Rafah, Mesir.

Perjalanan Biden ke Israel ditangguhkan selepas serangan ke atas sebuah hospital di Gaza pada Selasa, membunuh ratusan orang yang berlindung di sana.

Rakyat Palestin dan negara Arab menyalahkan Israel atas letupan itu, tetapi Israel mendakwa, serangan itu datang daripada pelancaran roket yang gagal oleh kumpulan Jihad Islam.

Susulan perkembangan itu, sidang kemuncak pemimpin Arab yang dirancang di Amman yang dijadualkan dihadiri Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Sisi dibatalkan selepas itu.

Serangan hospital itu mendapat kecaman dan bantahan di seluruh dunia di ibu kota utama.

Dua puluh lori adalah jumlah bantuan yang terhad, kerana Gaza adalah rumah kepada 2.3 juta orang yang tinggal di bawah sekatan darat, udara dan laut sejak 2007, apabila Hamas mengambil alih wilayah itu.

Israel mengetatkan sekatan ke atas kawasan kecil itu pada 7 Oktober, selepas lelaki bersenjata Hamas melancarkan serangan mengejut di bahagian selatan Israel, membunuh 1,400 orang dan menjadikan kira-kira 200 orang tebusan.

Israel bertindak balas dengan mengebom Semenanjung Gaza dengan serangan udara yang sudah membunuh kira-kira 3,500 orang setakat ini, kata pihak berkuasa Gaza.

Israel juga menyekat kemasukan air, elektrik, makanan dan ubat-ubatan, menimbulkan kecaman antarabangsa dan kebimbangan PBB mengenai krisis kemanusiaan. – SM

BACA 5 kanak-kanak Palestin maut dalam serangan di Gaza

BACA Hospital di Gaza di tahap kritikal-WHO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button