Nasional

Mesej Joker kepada menteri: Rakyat jahat ialah rakyat baik yang tersakiti

1. Hingga ke hari ini, ramai yang masih memperkatakan mengenai filem Joker.

2. Biar pun sudah lebih sebulan filem terbitan Warner Bros. itu ditayangkan di seluruh dunia, para peminat dan penonton masih tidak dapat mengelak daripada menyelitkan sebahagian daripada pengajaran filem tersebut apabila membicarakan realiti persekitaran mereka.

3. Sama ada dari segi pengajaran tentang isu kesihatan mental, penderaan, institusi keluarga – hinggalah ke petikan dialog ‘orang jahat ialah orang baik yang tersakiti’ – semuanya masih belum reda.

4. Entah bagaimana, filem tersebut turut mencuri perhatian dalam ruang awam politik negara. Mungkin kerana latar utama filem tersebut yang menyentuh secara langsung tentang perbezaan kelas ekonomi antara golongan atasan dengan bawahan, golongan berada dengan golongan kurang berharta, golongan berpengaruh dengan golongan terpinggir, dan golongan elit berkuasa dengan golongan massa yang putus harapan.

5. Hakikatnya, memang ada pengajaran yang boleh diambil oleh para pemimpin dan Menteri kita – jika mereka berkelapangan untuk menonton – daripada filem Joker lakonan Joaquin Phoenix ini.

6. Paling utama mestilah mesej ekonomi politik dan juga komunikasi politik. Memang benar, ada dasar-dasar baharu yang bagus cuba diperkenalkan kerajaan hari ini seperti sarapan percuma untuk semua murid sekolah oleh Menteri Pendidikan YB Dr. Maszlee Malik – namun banyak juga dasar-dasar yang boleh dipersoalkan yang cuba diperkenalkan; malah cara dasar-dasar berkenaan disampaikan kepada rakyat juga turut bermasalah.

7. Antaranya ialah pengenalan semula cukai SST menggantikan GST. Bagaimana langkah ini mampu mendekatkan struktur ekonomi politik kita kepada struktur ekonomi politik Gotham City yang ‘melahirkan’ Joker secara tidak langsung?

8. Pada satu sisi, langkah ini mengakibatkan kebergantungan negara kepada hasil minyak menjadi meningkat. Kerajaan BN dahulu perkenalkan GST – meski pun pada kadar yang mungkin boleh diperdebatkan – tetapi berhasil untuk menstabilkan pendapatan kerajaan supaya tidak terlalu bergantung kepada turun naik harga minyak dunia atau keputusan OPEC dan Bank Pusat Amerika.

9. Malah, apabila kerajaan hari ini memperkenalkan SST, harga barang bukan sahaja tetap naik, sebaliknya hasil kerajaan hilang berbilion-bilion ringgit akibat ketirisan pendapatan kerajaan oleh para peniaga yang lari dari membayar cukai.

10. Dalam masa yang sama, kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak meningkat lalu apabila harga minyak dunia turun, hasil kerajaan berkurangan dan banyak bantuan rakyat yang terpaksa dikurangkan.

11. Kerajaan perlu berhati-hati, nasib Gotham City tidak harus terjadi di negara kita di mana para peniaga yang kaya-raya mendapat manfaat dengan sistem percukaian yang tidak progresif manakala golongan pertengahan terhimpit dengan pengurangan bantuan dan insentif.

12. Dari segi komunikasi politik pula, tindakan sesetengah pemimpin yang berterusan menyindir rakyat sebagai ‘malas berusaha’ di samping cadangan-cadangan yang menghina kebijaksanaan rakyat wajib dihentikan segera.

13. Kita tidak ingin nasib yang menimpa Thomas Wayne sekeluarga menimpa pemimpin kita. Kita juga tidak ingin nasib yang menimpa Murray Franklin lakonan Robert De Niro dalam filem Joker itu menimpa mana-mana pemimpin negara kita.

14. Kedua-dua watak Thomas Wayne dan Murray Franklin – seorang berharta dan berkuasa, manakala seorang lagi berpengaruh dan popular – bertindak memperkecilkan kesusahan yang dihadapi golongan bawahan di Gothan City.

15. Saat ini, seperti mana jangkaan bekas pegawai Unit Perancang Ekonomi Isham Jalil, kerajaan kini ada tiga pilihan untuk menangani masalah kewangan negara:

Pertama, memotong bantuan dan perbelanjaan kepada rakyat;

Kedua, meminjam dan menambah hutang negara untuk terus berbelanja;

Dan ketiga, menjual aset negara yang ada untuk menampung perbelanjaan.

16. Ketiga-tiga pilihan di atas adalah pilihan tidak baik yang bakal ‘melahirkan’ Joker. Pilihan yang baik ialah menghapuskan SST dan mengembalikan GST seperti mana cadangan Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Kamal Salih dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman.

17. Hayatilah mesej ekonomi politik filem ini. Para Menteri bukan sahaja perlu berhenti daripada menjadi Joker, tetapi juga berhenti daripada membuat dasar yang boleh melahirkan Joker.

Ingatlah, ‘rakyat jahat ialah rakyat baik yang tersakiti’.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button