BeritaNasional

Berjayakah Malaysia capai sasaran RM100 bilion daripada TMM 2020

KUALA LUMPUR  – Tidak sampai sebulan lagi, kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM 2020) akan dilancarkan di seluruh negara dan ia bakal menandakan satu lagi ‘pesta’ mega yang akan berlangsung sepanjang tahun tersebut.

Pelbagai acara, program peringkat kebangsaan dan negeri telah disusun mengikut kalendar bagi memastikan kelancarannya untuk menarik minat pelancong asing berkunjung ke destinasi popular dan dalam masa sama menarik minat pelancong domestik untuk bercuti.

Peruntukan sebanyak RM90 juta yang bakal dilaburkan bagi menjayakan kempen mega tersebut menunjukkan kerajaan berkeyakinan bahawa kempen berkenaan bakal menjana pendapatan daripada sektor pelancongan melalui kemasukan pelancong seterusnya berbelanja di negara ini.

Malaysia menyasarkan kempen TMM 2020 akan menarik kehadiran 30 juta pelancong serta mencapai RM100 bilion perbelanjaan pelancong.

“Ini merupakan agenda nasional, semua pihak terlibat bukan sahaja tanggungjawab terletak pada Tourism Malaysia tetapi ia memerlukan sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan, syarikat korporat, swasta dan juga orang ramai untuk menjayakannya,” jelas Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Visit Malaysia 2020 Kick Off Conference (Kedah dan Perlis) di Hotel Bayview di Langkawi, Kedah baru-baru ini berkeyakinan bahawa agenda nasional ini berjaya dan bakal mencapai misinya.

Menurut beliau, Malaysia beruntung kerana ia tidak terkesan daripada insiden gempa bumi dan bencana alam yang boleh menjejaskan keyakinan pelancong berkunjung ke negara ini.

“Isu yang berlaku di Hong Kong pastinya akan memberi kesan negatif kepada sektor pelancongannya, oleh itu, kita semua bernasib baik kerana Malaysia masih aman dan selamat untuk dikunjungi,” jelasnya.

Penjagaan alam sekitar dan semulajadi, kebersihan di destinasi pelancongan utama khususnya pantai, kebersihan di tempat tumpuan awam, hotel dan faktor keselamatan adalah antara perkara yang perlu diberi tumpuan.

Mengulas mengenai statistik perbelanjaan pelancong pada pada separuh pertama tahun ini, Musa menerangkan, ia mencatat sebanyak RM41.6 bilion dengan kemasukan sebanyak 13.3 juta orang ke negara ini.

Tambah beliau, angka kemasukan pelancong masih positif setiap bulan dan ia akan bertambah lagi menjelang tahun depan seiring dengan pelbagai program promosi di peringkat antarabangsa.

Disebalik kemelut ketidakstabilan suasana politik, persekitaran ekonomi yang sukar selain nilai ringgit dan pasaran saham yang tidak menggalakkan tidak akan menjadi faktor kekangan bagi menjayakan TMM 2020.

Menurut Musa, pelancong lebih teruja untuk menikmati persekitaran alam sekitar dan semula jadi yang unik di negara ini, destinasi peninggalan sejarah dan juga makanan dan minuman yang menyelerakan.

Selain tumpuan terhadap pelancong asing, Malaysia juga memerlukan sokongan daripada penglibatan pelancong domestik kerana segmen daripada kumpulan ini memainkan peranan penting dalam sumbangan perbelanjaan pelancongan setiap tahun.

Berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan, Musa menjelaskan, sebanyak 84 peratus rakyat di negara ini menggunakan kenderaan sendiri untuk bercuti di dalam negara.

Disebabkan, itu, kerajaan telah menggalakkan pengiat industri hotel, chalet dan resort menawarkan kadar harga penginapan dan pakej melancong yang menarik selain promosi agresif untuk menggalakkan mereka berkunjung ke premis-premis tersebut.

Lebih menarik, rakyat malaysia yang melancong di dalam negeri dicatat sebanyak 78.2 juta pada tahun 2018 naik 10.9 peratus berbanding 70.5 juta orang pada tahun sebelumnya.

Dari segi perbelanjaan pelancongan domestik, ia mencatat sebanyak 60.4 bilion pada tahun 2018 berbanding hanya 25.4 bilion pada tahun sebelumnya. Sehubungan itu, pesta mega ini perlu disambut baik oleh semua pihak bagi masyarakat meskipun kita semua akan berdepan dengan fasa ekonomi yang sukar pada tahun depan.

Lebih memeritkan keadaan ialah apabila kerajaan akan mengapungkan harga minyak RON95 secara berperingkat dengan menaikkan harga petrol itu sekitar satu atau dua sen setiap minggu, sebaik Program Subsidi Petrol (PSP) dilaksanakan Januari depan.

Pasti ada jalan untuk kita berlibur melalui strategi dan perancangan yang betul dengan disiplin menabung yang tinggi.

Tidak kira bajet kecil atau besar, ia bergantung kepada kemahuan seseorang itu, perancangan awal membuat tempahan bilik penginapan, membeli tiket kemasukan taman tema popular secara online, contohnya boleh membantu untuk kita beriadah, merihatkan minda serta meluangkan masa emas bersama keluarga tersayang. – SM

(Visited 106 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button