Merdekanya negara kita telah pun melebihi 60 tahun. Satu angka yang cukup membuktikan kemampuan Negara kita dipimpin dengan sendirinya tanpa campurtangan kuasa asing.
Namun soalnya di sini, adakah minda kita juga telah dimerdekakan sedang ia menjurus ketahap kematangan yang semakin terhakis?
Apakah peradaban kita juga telah dimerdekakan sedang dalam sebuah negara yang berbilang kaum bebas mengamalkan agama masing masing namun masih ada yang meminta lebih dan tidak pernah mencukupi?
Adakah budaya yang diadaptasi bertahun lamanya juga telah dimerdekakan sehingga kita alpa terhadap usaha untuk terus mengukuhkan perpaduan sesama kita yang sekian lama hidup dalam sebuah negara yang berbilang bangsa, budaya, agama, dan kepercayaannya?
Seingat saya, negara kita tidak pernah melabelkan mana mana kaum dan tidak pernah sekali mempraktikkan diskriminasi kaum.
Negara kita bukan Myammar yang sedang rancak menjalankan penghapusan etnik dan pembunuhan beramai ramai terhadap etnik Rohingya yang beragama Islam dari si-tua hinggakan bayi yang dilahirkan dan dibakar hidup hidup dengan kejamnya sedang pemenang nobelnya hanya berdiam diri memerhati walau jelas kedengaran di dada dada media akan teriakan suara anak anak kecil yang tidak berdosa mengerang kesakitan ketika nyawa mereka dilayang layang.
Negara kita tidak pernah mengamalkan diskriminasi agama dan kepercayaan yang dianuti segenap rakyatnya.
Sebaliknya negara kita mengamalkan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan yang adil dan saksama terhadap segenap lapisan rakyatnya.
Raja-raja dan kepimpinan negara kita tidak pernah menindas mereka yang bukan Islam baik Hindu, Buddha, Sikh mahupun Kristian.
Mempertahankan hak menurut hukum Islam itu wajib, namun pernahkah kita mendengar bangsa ataupun agama lain ditindas sampai tak makan, tak minum, tak boleh berniaga dan sebagainya?
Bangsa lain selain Melayu juga ramai yang kaya raya, yang menjadi menteri telahpun terbukti hari ini yang menjadi ketua sesebuah organisasi kerajaan terutamanya dan yang mendapat keistimewaan dalam pelbagai sektor perniagaan, pendidikan dan juga macam macam lagi.
Akar umbi mendengar dari pemimpin dan jika salah penyaluran maklumat maka kita semua bakal melihat pepecahan yang lebih kronik lagi dikalangan rakyat berbilang bangsa di Negara kita.
Jadi apakah yang mampu kita lakukan bagi memastikan pepecahan diantara kaum tidak berlaku?
Siapakah diantara kita yang mampu menyemarakkan perpaduan di negara kita?
Siapakah yang mampu dan berkebolehan memahamkan nilai nilai polisi perpaduan dalam negara?
Siapakah yang harus terlibat untuk terhasilnya perpaduan yang mana menjadi elemen utama kepada pengukuhan ekonomi negara?
Imam Al Ghazzali r.a pernah menggunggkap, “Tidak pernah aku berhadapan dengan apa apa yang lebih sukar dari jiwa aku sendiri, yang mana ketikanya membantu ku namun ketikanya menentang ku”
Jawapannya ada di dalam ungkapan tersebut. Kita sendiri. Ibarat kita bertarung perasaan dengan diri kita sendiri iaitu untuk memilih ya ataupun tidak.
Kita semua dari segenap lapisan masyarakat dari setinggi tingginya jawatan kepimpinan perdana menteri hingga ke semua rakyat dari segenap lapisan umur, agama, bangsa dan kaum.
Pecahannya mudah saja dari sekecil kecilnya peniaga kepada semasyhur masyhurnya. Dari pemandu teksi kepada sebesar trelar. Dari artis tambahan kepada yang tersohor. Semuanya memainkan peranan terutamanya anak anak yang kian meningkat remaja.
Siapa lagi yang mampu menghasilkan perpaduan? Ya,kita semua. Namun asasnya dari mana? Dari pucuk pimpinan tertinggi hinggalah ke akar umbi.
Dari menteri, ke ADUN, ke ahli Parlimen, ke ketua bahagian, ketua cawangan, ketua kampung yang membawa kepada maksud ketua-ketua masyarakat.
Itulah pentingnya asas kita bertindak seperti saya sebutkan tadi, dari jawatan perdana menteri itu sendiri hingga ke rakyat biasa untuk sentiasa mempunyai kesedaran dan keprihatinan dalam menjalinankan perpaduan.
Dan setiap mereka ini adalah asas kepada pengukukan perpaduan dalam negara dan ianya tidak sukar untuk difahami.
Setiap pergerakan, setiap individu menyumbang kepada kesan terhadap perpaduan dalam sesebuah Negara.
Namun saya hanya ingin menyentuh tentang perpaduan didalam Negara kita sendiri kerana ini jauh lebih penting dari mempersoalkan cara, adat dan budaya kita sendiri. Jauh bezanya berbanding budaya luar.
Perpaduan membentuk dan memberi kesan terhadap pembangunan ekonomi negara. Ini fakta yang perlu kita persetujui.
Ya benar, ekonomi memang ada skalanya yang tersendiri namun harus diingat bahawa sumbangan perpaduan terhadap perkembangan ekonomi negara adalah salah satu elemen yang wajib ada.
Dan apakah kesan perpaduan terhadap pergerakan ekonomi? Negara luar melihat perkembangan Malaysia setiap masa. Dan kiranya negara kita mengalami masalah ketidakstabilan, mana mungkin pelabur asing mahupun yang dalam Negara menyumbang kearah pembangunan Ekomoni Negara.
Mana mungkin akan adanya peluang peluang pekerjaan seperti yang dijanjikan. Dan mana mungkin seorang ayah yang beranak pinak hidup susah tidak berkesudahan mampu menghidangkan makanan di atas meja bagi mengisi perut keluarganya.
Pemimpin harus saling ingat meningatkan, bahawa sesebuah negara itu dipenuhi dengan rakyat yang berkeluarga.
Dan kiranya ekonomi negara semakin merudum akibat dari kesan pandemik COVID-19 maka usaha Kerajaan ke arah negara maju akan menjadi sia sia.
Rakyat akan kembali tertindas, dan apakah kepuasan yang kita telah perolehi dalam menjatuhkan Kerajaan Kleptokrasi membawa sebarang makna pada kita semua?
Ingin saya tekankan di sini wahai sahabat handai, rakan pucuk pimpinan biarlah tragedi 13 Mei 1969 menjadi tragedi yang pertama dan yang terakhir di negara kita.
Tragedi yang bersejarah mana mungkin dilupakan segenap lapisan masyarakat. Pedihnya hingga masih ada yang mampu meleretkan suasana hiba ketika itu.
Besarnya kesan dari tragedi berdarah itu sehinggakan seluruh tubuh terasa dingin dan menggigil ketakutan hanya dengan membayangkan situasi ketika itu.
Rukun Negara lahirnya dari rentetan tragedi 13 Mei dan yang mana diadakan bagi menanam benih ke arah perpaduan menjadikannya sebagai satu landasan dalam kehidupan sebagai rakyat Malaysia dan mengingatkan rakyatnya agar sentiasa menjaga keharmonian dan perpaduan sesama kita yang kian lama hidup dalam harmoni, aman, damai dan tenteram di kalangan berbilang kaum, bangsa dan agama.
Kulit saya mungkin berbeza warnanya, rambut saya mungkin tak sama alunannya tetapi sebagai seorang yang berAgama Islam saya percaya akan ketentuan Allah swt dan saya yakin Islam adalah satu satunya agama yang prihatin dalam menyatu padukan diantara satu sama lain.
Sebagai muslim, saya dengan rendah diri memohon agar kita semua berdiri teguh, bersatu padu dan membuat yang terbaik bagi memperkukuhkan lagi perpaduan di dalam Negara kita yang tercinta.
Akhirat esok amal setiap pemimpin pasti dihitung. In Shaa Allah jika kita telah melakukan yang terbaik, maka mampulah kita menjawab pertanyaanNya.
Insan… merdekanya kita bermakna merdekanya jiwa kita dari segala hasad dimana lahirnya padah.
Insan… Merdekanya kita bermaksud merdekanya cara pemikiran kita dari terus dibelenggu kesempitan peri kemanusiaan.
Insan… Merdekanya kita membawa maksud membantu memerdeka Bangsa Malaysia dari terus tertekan dek rakusnya kepimpinan terdahulu.
Insan… Merdekakanlah jiwamu agar kita terus bersatu berganding bahu mengeratkan silaturrahim demi kebaikan yang diidami bangsamu, tuntutan agamamu dan keperluan rakyatmu.
Tulisan: MAHATHIR MOHD. RAIS Ketua Bersatu Bahagian Segambut