Nasional

Menyamar polis dan cari mangsa yang mudah disamun

Cari mangsa yang sesuai sebelum memperkenalkan diri sebagai polis dan terus lakukan jenayah samun.

Itu modus operandi yang dilakukan tiga suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan jenayah samun di sekitar Ampang, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek akan mencari warga emas atau wanita atau lelaki berbadan kecil dan bersendirian.

“Selepas memperkenalkan diri sebagai polis, suspek akan memeriksa mangsa manakala seorang lagi akan merampas dan melarikan barangan mangsa.

“Suspek biasanya aktif melakukan jenayah tersebut kira-kira pukul 8 malam dan berpakaian biasa semasa melakukan kegiatan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kes itu, Mohamad Farouk berkata satu tangkapan telah dibuat melibatkan seorang lelaki berusia 24 tahun di Jalan Taman Melawati, Ampang Jaya, Selangor.

Ujarnya, soal siasat suspek membawa kepada dua lagi tangkapan iaitu lelaki berusia 24 dan 45 tahun di kawasan sama.

“Kesemua suspek tidak bekerja dan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah, samun dan merusuh.

“Kita juga merampas sebuah kereta jenis Proton Perdana, sebuah motosikal jenis Yamaha LC135, Enam telefon bimbit dan beberapa barangan lain,” katanya.

Jelasnya, kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 21 Januari depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, pihaknya percaya penangkapan semua suspek berjaya menyelesaikan tiga kes samun dan kini sedang mengesan rakan suspek yang masih bebas. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button