MenThor bantu usahawan bumiputera dengan beri langganan percuma
Aplikasi MenThor membantu usahawan bumiputera dengan meneruskan tawaran langganan percuma selama 30 hari yang sepatutnya tamat pada 31 Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif, MenThor Asia, Aizzuan M Ali berkata, tawaran tersebut dibuat berikutan permintaan ramai orang terutama usahawan bumiputera yang tidak sempat memuat turun dan melanggan aplikasi yang berada di pasaran sejak 25 Januari lalu.
“Kami ingin membuka peluang ini untuk mereka mencuba menggunakan MenThor secara percuma mengikut terma dan syarat ditetapkan.
“Lebih 1,000 video berada dalam aplikasi ini yang boleh ditonton dengan pelbagai kategori penting dalam bisnes seperti pemasaran, keusahawanan, kepimpinan dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
MenThor merupakan aplikasi yang dibangunkan syarikat ‘startup’ bumiputera dengan tujuh anggota pasukan sejak November tahun lalu.
Aplikasi itu boleh dimuat turun dalam App Store dan Play Store yang ditampilkan dalam bentuk minimum viable product (MVP) untuk fasa pertama dengan pembelajaran video online.
Tambah Aizzuan, buat permulaan aplikasi itu menampilkan seorang MenThor terkemuka negara yang telah mendapat pengiktirafan peringkat tempatan dan global iaitu Dr Azizan Osman.
“Selepas ini, akan ada MenThor lain ditampilkan untuk berkongsi kepakaran masing-masing dari semasa ke semasa.
“Pada masa ini, caj serendah RM38 sebulan hanya dikenakan kepada pengguna selepas tamat tempoh percubaan tanpa sebarang kontrak dengan kandungan video akan ditambah setiap minggu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aizzuan memberitahu, pihaknya juga akan menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti kumpulan dan organisasi keusahawanan untuk memastikan tiada usahawan yang ketinggalan untuk mendapatkan manfaat daripada MenThor.
Untuk perkembangan MenThor Asia, orang ramai boleh mengikuti menerusi akaun Facebook dan Instagram.