Politik

Menteri Perikatan Nasional belajarlah dari `onar’ Pakatan Harapan

BEGITU agresif serangan-serangan kumpulan pro pembangkang terhadap menteri-menteri dari Perikatan Nasional (PN).

Read bean army mereka sudah kembalikah? ‘Dr, Dr’ mereka muncul lagi. Tak bagi muka langsung.

Pantang tersilap sikit, habis dibalun. Menteri air suam lah, menteri pembentungan lah, menteri mewa, menteri doraemon lah dan muncul pula menteri tik tok.

Benarlah kata-kata bijaksana merumuskan – hidup berpolitik semacam tinggal di dalam rumah kaca.

Harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau yang tidak harus dibuat. Kerana nanti orang akan nampak atau sikap orang yang mudah bertindak balas.

Lalu dikatakan, penghuni rumah kaca jangan buang batu. Nanti apabila orang baling batu, rumah itu akan pecah dan musnah.

Sayangnya, tidak semua ahli politik yang berkebolehan bersikap positif dan hati-hati sentiasa.

Apabila terlupa sedikit, ada sahaja mudarat yang sampai. Ada kalanya keaiban meletus pada saat-saat yang tidak disangka-sangka.

Berbanding fi’il menteri PN, prestasi menteri-menteri kerajaan sebelum ini lebih banyak menjadi `buah mulut’ rakyat.

Dikatakan sebilangannya merapu. Malah kadangkala di bawah `standard’ yang sepatutnya.

Ketika belum berkuasa, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) ini berjanji seolah-olah mereka adalah ‘superman’ untuk selamatkan negara. Juga, konon mahu selesaikan masalah ekonomi, hapuskan tol, turunkan kos sara hidup dan beri kesejahteraan kepada rakyat.

Malangnya selepas berkuasa, mereka ternyata tiada idea. Ini sehinggakan terpaksa ‘copy paste’ daripada apa yang pernah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelumnya.

Bahkan, ada juga buat ‘U-Turn’, yang ketara sekali `flip-flop’ nya. Macam-macam jolokan diberi. Ada menteri ‘hirup satu sudu minyak sawit merah untuk kekal muda lah. Menteri kasut, stoking hitamlah. Menteri `munis’ lah. Menteri ‘pujangga, kekanda, adinda lah’.

Ada senarai nama menteri yang dikatakan belum dapat mencapai prestasi diharapkan. Ada yang sering diselubungi kontroversi sepanjang melaksanakan tugas ketika itu.

Mereka waktu itu kelihatan sudah hilang kepercayaan rakyat berikutan kerajaan seolah-olah tidak mempunyai keupayaan untuk merealisasikan manifesto.

Lantas mempengaruhi keputusan di beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK), dengan lima PRK di ambang pengakhiran kuasa kecundang apabila rakyat mula menolak calon kerajaan.

Setahun memerintah, nilai ringgit tidak bermaya. Bursa Malaysia lesu dan peningkatan kos sara hidup membebankan. Kelihatannya mereka tidak dapat merasai denyutan hati rakyat yang semakin marah.

Antara yang diperkatakan ialah persepsi menebal ‘dominannya fahaman sosialis dan liberal dalam pentadbiran sehingga kelihatan menghimpit fahaman penganut Islam, kedudukan orang Melayu dan institusi Raja Melayu’.

Insiden seperti percubaan meretifikasi ICERD, Rome Statute, penonjolan aktiviti LGBT, diburukkan lagi dengan kenyataan menteri yang kelihatan tidak kompeten dan kurang integriti telah menghakis keyakinan rakyat.

Dari sudut ekonomi, mereka dikatakan gagal memperbaikinya. Pertumbuhan KDNK kuncup dari 5.8% kepada 4.7% dan tidak menunjukkan prospek melepasi 5%.

Setahun mentadbir, pasaran ekuiti di Bursa Malaysia turut melemah. Market capitalisation mengecil.

Waktu itu pasaran Malaysia sudah kehilangan lebih RM200 bilion sejak mengambil alih. Ia sekali gus meletakkan prestasi Malaysia sebagai yang terburuk di Asia.

Dikatakan penolakan pegawai perkhidmatan awam terhadap kerajaan dulu yang berpunca dari sikap tidak menghormati perkhidmatan awam, menambah lagi luka lemahnya prestasi kerajaan.

Dan secara keseluruhan gabungan parti-parti di bawah kerajaan lepas itu dimomokkan sebagai tidak menjanjikan Malaysia yang lebih baik

Maka, menteri-menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus ambil iktibar dan teladan.

Apatah lagi di musim wabak COVID-19 melanda negara ini, orang hidup tertekan. Rumah didiami berkurung di dalamnya hampir masuk sebulan kian berbahang.

Penghuninya mudah marah dan tersinggung. Apa lagi pabila dihidangkan dengan idea bukan-bukan – yang sepatutnya serius apabila datang daripada pak-pak menteri atau ibu-ibu menteri.

Demikianlah dalam politik atau kerjaya seorang menteri, realitinya – daya tahan amat penting sekalipun fenomena kawan jadi lawan berterusan diamalkan.

Tahan kalah, tahan kena kritik dan tahan sabar. Telinga pun tak boleh terlalu nipis, apabila ditegur mudah melenting.- SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button