Menteri malu tengok asrama pekerja yang lebih teruk dari kandang kerbau
“SAYA sebagai menteri amat malu melihat keadaan yang seperti ini. Saya tidak pasti bagaimana mereka boleh hidup dalam keadaan sedemikian,” kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang menyifatkan asrama pekerja kilang membuat sarung tangan getah yang dilawatinya hari ini lebih teruk dari kandang kerbau.
Memetik laporan Berita Harian, Saravanan berkata, beliau tidak pernah melihat keadaan asrama pekerja asing yang amat daif dan teruk keadaannya seperti yang disaksikan sendiri tadi.
“Dua kontena yang dijadikan tempat tinggal sepatutnya hanya memuatkan maksimum 100, tetapi saya difahamkan seramai 400 hingga 700 pekerja dimuatkan di asrama berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai pemeriksaan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) ke atas asrama pekerja asing sebuah kilang sarung tangan getah di Jalan Simpang Balak, Batu 13 Jalan Cheras hari ini.
Susulan daripada operasi pemeriksaan itu, syarikat berkenaan diarah menghentikan operasi menerusi notis perintah tutup dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), tujuh hari bermula, 24 Disember ini.
Menteri Sumber Manusia itu menyifatkan keadaan asrama tersebut diibaratkan perhambaan moden kerana keadaan tempat tinggal pekerja yang terlalu daif, kotor, tidak selamat dan jelas mereka tidak menjaga kebajikan pekerja warga asing dengan baik.
“Keadaan asrama pekerja yang saya lihat itu amat jauh berbeza dengan pembangunan negara kita, saya tidak boleh percaya ada tempat seperti ini wujud.
“Ini antara tempat tinggal pekerja yang paling teruk pernah saya lihat. Saya lihat tempat ini lebih teruk daripada kandang kerbau, ini adalah perhambaan moden.
“Syarikat pembuatan sarung tangan getah seperti ini mampu menjana keuntungan sehingga 400 kali ganda tetapi tidak mahu menyediakan tempat tinggal yang baik untuk pekerja,” katanya.