
Menteri luar Qatar dan PMX bincang krisis Gaza melalui perbulan telefon malam tadi
PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen berterusan dalam menyokong setiap usaha ke arah perdamaian di Gaza serta menamatkan kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Palestin.
Menurutnya, dalam satu perbualan telefon lewat malam tadi dengan rakan sejawatnya dari Qatar, Tuan Yang Terutama (TYT) Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, membincangkan perkembangan terkini di Gaza, khususnya berhubung pelanggaran syarat gencatan senjata oleh Israel.
Beliau menyatakan kebimbangan terhadap tindakan rejim Zionis yang dilihat sengaja melengahkan proses perdamaian, meskipun pelbagai pihak termasuk Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat sedang berusaha mencari penyelesaian diplomatik.
“Saya menyanjung tinggi usaha gigih yang dilakukan oleh TYT Sheikh Mohammed dalam mencari jalan untuk menghentikan segera kekejaman Israel dan mencapai perdamaian yang berkekalan,” katanya.
Katanya lagi, akan terus teguh dalam memberi sokongan terhadap setiap inisiatif perdamaian termasuk menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan rakyat Gaza serta menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di bumi Palestin.
Usaha berterusan daripada masyarakat antarabangsa amat diperlukan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dan hak rakyat Palestin dipelihara.