Politik

Menteri jangan malu `sekolah’ balik

Oleh Zack Jay

BUKAN sahaja Dr. Maszlee Malik, sebilangan lagi menteri dari Parti Bersatu khabarnya berada di ‘tahap rendah’.

Tidak sekadar dari segi penentuan dasar, tetapi juga kaedah melaksanakan sesuatu perkara.

Kementerian-kementerian utama seperti Pembangunan Luar Bandar termasuk beberapa kementerian pegangan lain kelihatan di mata rakyat tidak dapat melaksanakan kerja sehingga melenyapkan keyakinan besar pengundi yang menyokong Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lepas.

Ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu.

Kerana itu cadangan yang muncul sebelum ini untuk `menyekolahkan’ menteri-menteri berkenaan amat baik. Ia bukanlah sekolah dalam bentuk kelas tapi latihan itu mesti wujud.

Dalam banyak hal, beberapa menteri Bersatu misalnya tidak dapat membezakan antara dasar dengan perbuatan harian. Ego mereka agak tinggi. Antaranya telefon dan surat tidak berjawab. Apabila dikemukakan pandangan, mereka melenting.

Ia tanda-tanda tidak teguh pada sesuatu parti yang memerintah. Justeru, amatlah baik sekiranya para menteri dari Bersatu diberi serlahan secara langsung. Tidak boleh lagi berselindung di bawah teguran begitu sahaja. Mereka harus duduk di depan, mendengar apa yang Dr. Mahathir mahukan. Baru ada perubahan.

Kerenah sebilangan mereka ini menjadi faktor yang membebankan Bersatu disebabkan output atau produktivitinya tidak ada. Orang kampung menantikan misalnya Kementerian Pembangunan Luar Bandar sekarang menghuraikan perkara yang akan diberi atau diutamakan.

Kementerian Pendidikan pula yang menyaksikan Maszlee meletak jawatan hari ini melibatkan kehendak rakyat yang menggunung mahu tahu apa dasar yang hendak diutamakan. Takkanlah hal-hal ‘kasut hitam dan stoking’.

Suara Merdeka tak mahu apologetik untuk memperkatakannya. Mereka ini harus terima bimbingan secara langsung daripada Dr. Mahathir jika hendak survive.

Usah sebutlah `saya masih selamat’ sebagai menteri. Bersikap rendah dirilah sikit. Pergilah mengadap otai-otai ini. Mereka ini takkan kedekut ilmu. Masuk kelas. ‘Sekolah’ balik seperti kata Datuk A. Kadir Jasin.

Jangan lagi anda `tersadung’ dengan statement-statement yang jadi peluru hentam anda balik.

Cuba perhatikan perbezaan anda dengan menteri-menteri dari DAP. Mereka cukup emphatic (menyatakan sesuatu secara tegas dan jelas) walaupun tidak semua betul. Mereka tahu apa yang mereka mahukan dan ada agenda yang tidak diumumkan.

Kementerian Pengangkutan (diketuai Anthony Loke) misalnya pada suatu ketika kecenderungannya lebih kepada grab dan tidak kepada teksi.

Padahal Dr. Mahathir sudah beri arahan agar diadakan common ground atau arahan-arahan am yang tidak menyebelahi kuat sebelah pihak.

Ini tandanya mereka dari DAP faham mekanisme kementerian masing-masing dan menggunakan pada kesan yang paling maksimum.

Begitu pun kewibawaan satu-satu menteri dipersoalkan, akhirnya mahu tidak mahu kerajaan hari ini mesti berbalik kepada manifesto.

Dan waima apa pun yang Dr. Mahathir sebut pasal manifesto, itulah janji-janji Pakatan Harapan kepada rakyat. Ia mesti ditunaikan setakat yang
nampak praktikal.

Pada masa sama, kesan kos hidup pun begitu. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak boleh hanya nyatakan ia suatu fenomena permintaan dan juga produktiviti sahaja. Ada sebab musababnya untuk dilaksanakan.

– SUARA MERDEKA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button