Nasional

Menjiwai sifat guru sejati mendidik demi keinsanan

DALAM kembara pencarian ilmu, disedari bahawa ilmu dipertemukan melalui bimbingan insan yang menjiwai sifat guru yang sejati.

Ketika berucapkan merasmikan majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali ke-25 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di sini, Canselor, Raja permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bertitah guru yang sejati mempunyai roh, semangat, dan jati diri yang ikhlas dalam mendidik anak didiknya.

Titah Baginda lagi guru yang sejati bukan sahaja hebat dalam kaedah pengajarannya, malah memiliki sifat pendidik yang semula jadi lagi berhemah, serta disanjung, dihormati dan dikasihi oleh para murid begitu juga masyarakat.

“Ketika berperanan sebagai pendidik, izinkan anak didik untuk berfikiran kreatif, membolehkan mereka mencabar kelaziman, serlahkan anak didik dengan pelbagai realiti kehidupan, dan persiapkan mereka dengan pendidikan yang berteraskan realiti kehidupan.

Konvokesyen UPSI ke -25 kali ini menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 7,616 orang graduan. Daripada jumlah tersebut, seramai 121 graduan Ijazah Kedoktoran, 1,487 graduan Ijazah Sarjana, 4,240 graduan Ijazah Sarjana Muda, dan 1,768 graduan Diploma Lanjutan dan Diploma.

Baginda bertitah, sepanjang mengikuti pengajian di taman ilmu ini, graduan diperkenalkan dengan ilmu, menemui ilmu dan menguasai ilmu sebagaimana sabda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang inginkan kebahagiaan di dunia hendaklah berilmu, siapa yang ingin kebahagiaan di akhirat maka hendaklah berilmu dan siapa yang berkehendak akan kedua-duanya sekali hendaklah juga dengan ilmu.”

Sabda tersebut jelas menyerlahkan peri pentingnya usaha menimba dan menguasai ilmu dalam kehidupan. Kehidupan yang bakal memberikan manfaat kepada insan. Kehidupan yang bakal menjadi bekalan pada hari pengakhiran.

Rasulullah SAW ialah suri teladan seorang pendidik yang wajib dijadikan contoh, malah Baginda mendidik insan dengan roh, jiwa dan ihsan, mempamerkan sifat-sifat gigih, tekun lagi bersungguh dalam usaha mengilmukan insan dengan penuh sabar dan kasih sayang.

“Majoriti graduan akan terbabit secara langsung dalam profesion pendidikan dan sebagai pendidik, belajarlah mendidik dengan mengambil iktibar daripada peribadi keinsanan dan keihsanan Baginda Rasulullah,” titah Baginda.

Baginda bertitah kedua-dua ibu dan bapa adalah suri pendidik yang terhebat dalam kehidupan kita sebagai insan budiman yang mendidik sejak dilahirkan dengan limpahan kasih dan belaian sayang tanpa merasa lelah.

“Kejayaan anda pada hari ini, adalah hasil daripada asuhan dan pengorbanan ibu bapa anda. Kenangi dan hargai segala pengorbanan mereka dengan menjadi anak yang soleh, anak yang akan dapat membantu kehidupan mereka pada hari tua dan ketika mereka telah kembali ke Rahmatullah,” titah Baginda lagi. .

Baginda berharap graduan menghargai peranan dan jasa guru yang memperkenalkan mereka kepada huruf dan angka, membaca, menulis dan mengira, sejak anda berada di tadika, di sekolah rendah dan sekolah menengah, selanjutnya bimbingan dan panduan para pensyarah ketika anda berada di taman ilmu bernama universiti.

Setiap seorang daripada mereka telah berperanan besar membolehkan anda mencapai kejayaan. Hargai jasa mereka dan tunjukkan sifat insan yang tahu berterima kasih.

Baginda berpesan kepada graduan bahawa berbekalkan asuhan ibu bapa dan keluarga, berbekalkan bimbingan dan tunjuk ajar para guru dan para pensyarah, serta berbekalkan ilmu yang diperoleh, jadikan diri anda sebagai warga yang berharga, warga yang sedia berkhidmat dan berbakti untuk negara dan masyarakat.

Seterusnya Baginda menasihati graduan agar memperlihatkan sifat-sifat insan berilmu yang tertib, beradab, bersopan dan berbudi bahasa dalam tutur dan perbuatan selain mengamalkan semangat kenegaraan yang tinggi dengan menumpahkan kesetiaan kepada raja dan negara.

Baca : Dua Pensyarah FSSK UPSI raih anugerah pembentang terbaik di Persidangan Antarabangsa Anjuran University of Mostar, Bosnia & Herzegovina

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button