Acara

Menghidupkan semula Ghazal Parti warisan seni yang hampir dilupakan

PERTUBUHAN Pembangunan Ehsan dan Multimedia (PPEM) telah menganjurkan program istimewa, Persembahan Ghazal Parti dan Pertandingan Peragaan Pakaian Tradisional Kreatif, bertempat di MYDIN Mall. Acara ini bertujuan mengangkat semula seni warisan Ghazal Parti yang kian pudar ditelan zaman.

Memartabatkan Seni Ghazal Parti dan Tradisi Malaysia

Ghazal Parti, suatu ketika dahulu, merupakan seni persembahan popular di utara Malaysia, khususnya di Pulau Pinang. Ia unik kerana menggabungkan elemen muzik, nyanyian, humor, dan tarian dengan gaya bahasa dialek Kedah dan Pulau Pinang. Namun, seni ini semakin dilupakan, terutama dalam kalangan generasi muda.

Menurut Pengerusi PPEM, yang juga Pengarah Program, seni Ghazal Parti, Razali Hussain perlu dihidupkan kembali sebagai warisan budaya negara.

Pengerusi PPEM, yang juga Pengarah Program, seni Ghazal Parti, Razali Hussain sedang menyampaikan pakaian tradisi kepada pemenang yang bertuah bagi Ketegori Pakaian Tradisi

“Ghazal Parti dahulunya terkenal mendidik masyarakat melalui mesej positif yang disampaikan dalam lagu-lagunya. Namun, seni ini kini hampir tidak dikenali lagi,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kumpulan Ghazal Parti yang masih aktif kebanyakannya terdiri daripada warga emas. Kekurangan penyertaan generasi muda menimbulkan kebimbangan bahawa seni ini akan hilang ditelan arus kemodenan.

“Kita mahu Ghazal Parti diangkat, seperti mana Boria, untuk menjadi seni persembahan kebangsaan yang boleh dipromosikan kepada pelancong. Seni ini bukan sahaja unik, malah mencerminkan identiti budaya Pulau Pinang,” tambahnya.

Selain persembahan Ghazal Parti, program ini turut dimeriahkan dengan Pertandingan Peragaan Pakaian Tradisional Kreatif. Acara ini memberi peluang untuk menonjolkan kepelbagaian pakaian etnik masyarakat Malaysia sambil memupuk penghargaan terhadap adat resam pelbagai kaum.

Razali jugamengucapkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta pengurusan MYDIN Mall yang menyokong usaha ini. Program ini juga menerima Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK-MOTAC) sebagai salah satu usaha bersepadu memartabatkan seni warisan.

Turut menyeru pihak Kerajaan Pusat dan Negeri untuk memberi perhatian terhadap usaha menghidupkan semula seni Ghazal Parti.

“Seni ini adalah aset budaya yang bernilai tinggi. Tanpa sokongan dan pelapis muda, kita mungkin kehilangan salah satu seni warisan terunggul negara,” ujarnya.

Melalui program ini, jelas bahawa seni dan budaya tradisional, seperti Ghazal Parti dan pakaian etnik, mempunyai potensi besar untuk dijadikan daya tarikan pelancongan sambil mendidik masyarakat tentang keindahan budaya kita yang pelbagai.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button