Belang Bertempat

Mengapa mahu `dicarik’ institusi presiden UMNO tonggak BN?

BELANG tak pasti apa yang ada dalam fikiran seorang ketua bahagian di Selangor yang tiba-tiba mahu menjadi `si kitul’ cuba mengadu-domba `mencarik-carik’ institusi presiden UMNO.

Sejak sekian lama mana-mana presiden UMNO itulah juga pengerusi Barisan Nasional (BN), secara tiba-tiba ada pula ketua bahagian mengesyorkan supaya orang lain mengisi jawatan nombor satu mengetuai gabungan politik berusia 61 tahun tersebut.

Sudah tidak ada idea lainkah? Bukankah itu maruah dan imej seorang presiden UMNO?

Related Articles

Sejak BN ditubuhkan 1973 menyambung lidah perjuangan Perikatan yang dibentuk secara rasmi dalam pilihan raya umum pertama Tanah Melayu 1959, wajah presiden UMNO itulah juga pengerusi BN.

Meskipun akan ada yang berkata, adalah suatu yang “new normal” dengan cuba menjadikan kelainan – tidak semestinya lagi presiden UMNO merangkap pengerusi BN – bagi Belang, ia suatu tindakan keterlaluan kerana sudah merupakan tradisi dalam BN, presiden parti yang majoriti memegang kerusi dalam BN akan dilantik menjadi pengerusi.

Maka, yang paling berhak dan layak mengetuainya ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua bahagian yang buat `syor’ berkenaan perlu ingat, bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pernah menekankan betapa institusi presiden UMNO harus dipertahankan dan dihormati.

Belang ingat lagi (eh! takkan ketua bahagian terbabit tak ingat) pada perhimpunan agung UMNO 2016 yang mana Najib dalam ucapannya mengingatkan betapa institusi presiden UMNO tidak boleh diperkotak-katikkan. Bukan individu yang mengisinya penting, tetapi institusi presiden itu yang harus dipertahankan.

Sebagai contohnya, tegas Najib dalam ucapan pada perhimpunan parti tempoh hari:

1.Dalam episod pertembungan antara Team A dan Team B, semasa Pemilihan Presiden UMNO pada tahun 1987. Sebagaimana yang telah saya sebutkan pada Perhimpunan Agung tahun lalu, ketika itu siapa yang setia berada di belakang Dr. Mahathir (presiden UMNO)? Kalau bukan kita, Ahli-Ahli UMNO.

Hinggakan YB Mulia Tengku Razaleigh ketika itu berkecil hati dengan saya, atas keputusan saya (Ketua Pemuda UMNO) dan pasukan berpihak kepada Dr. Mahathir. Namun ketahuilah, saya lakukan itu semata-mata berpegang atas prinsip wala’ dan tuntutan kesetiaan kepada seorang Presiden Parti, walaupun secara peribadinya saya sangat akrab dengan Tengku Razaleigh dan sehingga kini saya tetap menghormati beliau sampai bila-bila.

2. Babak selanjutnya, tragedi hitam ketika mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh 4 Februari 1988, telah mengisytiharkan bahawa UMNO sebagai pertubuhan yang haram.
Siapa juga pada saat-saat genting dan mendebarkan tersebut, yang berdiri teguh menyokong dan membantu Dr. Mahathir selaku Presiden, sehingga UMNO baharu telah secara rasmi diterima semula secara sah?

3. Episod selanjutnya, ketika negara berdepan dengan krisis kegawatan kewangan Asia pada sekitar tahun 1997-1998, sekali lagi, parti dan siapakan yang tetap setia menyokong apa pun jua keputusan Presiden UMNO? Jawapannya, tidak lain dan tidak bukan, kita, kitalah ini orang-orang UMNO yang setia.

4. Begitu juga harus barang diingat, yang berlaku di era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Wala’ dan Kesetiaan yang saya, Najib Razak berikan selaku Timbalan Presiden parti, bersama-sama Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri serta majoriti pimpinan juga keseluruhan ahli UMNO, kepada Pak Lah, bukan sahaja ke atas jasad atau tubuhnya, tetapi institusi yang dijunjung dan dipegang oleh beliau yakni sebagai Presiden parti UMNO (serta Perdana Menteri Malaysia).

5. Demikianlah juga, wala’ dan kesetiaan yang diberikan kepada institusi yang sedang saya sandang ini (presiden UMNO) adalah atas sebab tanggungjawab yang dipikul dan amanah oleh ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia.

6. Pastinya, wala’ dan kesetiaan sepenuhnya juga wajib diterima oleh sesiapa pun kelak yang akan berada di puncak dan mengambil alih jawatan Presiden (dan Perdana Menteri).

Itu antara intipati ucapan Najib. Ya, kesimpulannya, wala’ dan kesetiaan dalam budaya serta alam Melayu serta Islam adalah semangat sepasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu yang tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya.

Dan Belang mengimbas balik penjelasan Najib tentang program sembang santai bersamanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sekitar November 2018.

Bekas Presiden UMNO itu menegaskan, beliau tidak berhasrat untuk kembali menjadi presiden parti mahupun sebagai Perdana Menteri memandangkan beliau sudah pun memegang jawatan itu selama lebih sembilan tahun.

Dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada pada dirinya, beliau yakin ia dapat menyumbang ke arah matlamat tersebut.

“Lebih-lebih lagi dalam konteks kalau sekiranya ada fitnah, pembohongan atau apa-apa fakta yang tak betul sama ada sengaja atau tidak sengaja dilontarkan, maka menjadi tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, sebagai seorang ahli Parlimen…maka saya seharusnya memainkan peranan untuk membetulkan segala yang pada pendapat saya perlu diberikan penjelasan tepat berdasarkan pada angka dan fakta sebenarnya.

“Saya berharap semua pihak akan memberi ruang pada saya untuk saya memainkan peranan ini sebagai sumbangan saya untuk membantu rakyat, parti dan sekali gus memakmurkan negara Malaysia kita yang tercinta,” demikian tegas Najib.

Ya, Belang harap ketua bahagian UMNO dari Selangor terbabit, hati-hatilah dengan sebarang cadangan yang mahu diutarakan di kemudian hari.

Dikhuatiri, ia akan merencatkan pembinaan UMNO sebagai parti yang sedang kembali ke arus perdana setelah kalah Mei 2018, menerusi Muafakat Nasional (bersama Pas), sebelum melonjak melalui Perikatan Nasional.

Belang amat sedih melihat gelagat segelintir pemimpin UMNO yang membuat kenyataan yang tidak melambangkan muafakat pemimpin terhadap Presiden UMNO hingga menyebabkan pendukung UMNO dan khalayak berasa celaru dan keliru.

Mendukung presiden sebagai pengerusi BN adalah mendukung kekuatan UMNO. Kekuatan UMNO bermakna kekuatan agama, bangsa dan negara.

Jika perpaduan dilemahkan. Maka UMNO akan dipijak, hak dan kedaulatan bangsa, agama dan negara akan sama dipijak. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button