Politik

‘Mengapa Kasthuriraani, Ramasamy, Charles Santiago masih serang saya’

TIMBALAN  Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar terkilan dengan tindak tanduk DAP termasuk Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasthuriraani yang masih terus menyerangnya meskipun beliau telah menjelaskan isu `sentimen anti Rohingya’ tidak ada kaitan dengan parti itu.

Kata Edmund, tidak seperti bapanya P Patto, seorang ahli politik veteran yang berpengaruh, Kasthuriraani menggunakan perkataan-perkataan tidak senonoh antaranya `penyangak tidak malu’ atau ‘shameless rascal’ terhadapnya yang tidak sepatutnya datang dari seorang ahli politik.

“Dia (Kasthuriraani) mengkritik temuramah saya kononnya saya telah kaitkan sentimen anti Rohingnya dengan DAP.

“Walaupun saya telah menjelaskan kenyataan yang diberikan kepada sebuah portal berita itu telah disalahtafsir, dia terus berbuat demikian… seorang yang tidak terpelajar dan `bodoh’.

“Pergilah semak sendiri profil saya, terlalu panjang untuk saya senaraikan sebenarnya…pelajar yang mendapat CGPA 4.0, educated macam mana lagi anda mahu dari saya?

“Bagaimana seorang ahli politik boleh keluarkan perkataan-perkataan tidak senonoh,” kata beliau dipetik dari MalaysiaGazette hari ini.

Edmund antara 11 Ahli Parlimen mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengisytiharkan keluar parti dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu.

Kumpulan ini yang diketuai Timbalan Presiden PKR waktu itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kemudian menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Isu salah tafsir itu berlaku sejurus selepas beberapa portal mengeluarkan laporan berita “DAP linked people’ behind anti-Rohingya messages says Deputy Minister (Edmund)”, lantas Edmund yang juga Ahli Parlimen Segamat tampil memperbetul dan menjelaskan isu tersebut.

“Pada hari yang sama saya telah perbetulkan temuramah saya malah berita Astro Tamil juga media lain termasuk akhbar telah menyiarkan pembetulan itu. Jadi saya tidak faham mengapa pemimpin DAP berterusan cuba kritik saya,” kata beliau.

Edmund kemudian menarik perhatian kenyataan dalam Facebook milik Kasthuriraani yang sekali lagi mengkritiknya berhubung pemecatan dalam PKR baru-baru ini.

“Tulis Kasthuriraani saya penipu dan telah memperbodohkan umum. Pelik betul kamu sebenarnya, apakah anda tidak mempunyai kerja lain selain menyerang dan menyerang tanpa fakta?

“Saya tidak pernah keluar PKR sebaliknya saya dipecat pada 3 April lepas, surat pemecatan juga telah dihantar melalui Whatsapp sambil dimaklumkan surat rasmi yang dihantar melalui courier.

“Kerajaan negeri milik kamu, jadi banyak lagi boleh dilakukan daripada kamu main politik seperti ini. Banyak juga isu di Pulau Pinang yang boleh kamu fokus pada masa sama. Sekurang-kurangnya buat itu dulu,” kata Edmund.

Beliau seterusnya berkata, pemimpin-pemimpin DAP lain turut menyerangnya walaupun selepas penjelasan `isu Rohingya’ itu dibuat yang seolah-olah ada agenda.

“Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy kritik saya kononnya saya sengaja mengaitkan pemimpin DAP untuk cita-cita politik dalam PN. Cita-cita apa? Saya tidak perlu jatuhkan DAP untuk kepentingan diri saya. Janganlah berlawak.

“Ahli Parlimen Klang (DAP), Charles Santiago pula menuduh saya terdesak dan mengeluarkan kenyataan tidak berasas yang sebenarnya untuk timbulkan kebencian serta keadaan huru-hara ketika ini. Jika anda cakap begitu, adakah semuanya selesai?

“Begitu juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam (DAP), Satees Muniandy menuduh saya cuba memenangi hati pemimpin-pemimpin UMNO dengan mengeluarkan kenyataan anti DAP. Apa perlunya saya buat begitu?

“Mengapa tidak ada seorang peduli tentang penafian itu, sebaliknya benda yang tidak betul dan palsu itu yang kamu jadikan sebagai bahan untuk terus mengelirukan umum. Mengapa begitu? – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button