Memang benar anak, menantu saya dibawa ke balai – Mukhriz
PRESIDEN Pejuang Datuk Seri Mukhirz Tun Mahathir mengesahkan anak dan menantunya antara individu yang ditahan pihak berkuasa dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada 22 Ogos lalu.
Menurutnya, anak dan menantunya melanggar kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan telah membayar kompaun yang dikenakan terhadap mereka.
“Memang benar, anak dan menantu saya sudah dibawa ke balai bersama 27 orang yang lain atas kesalahan melanggar PKPP. Mengikut kenyataan polis, mengikut undang-undang berkaitan mereka semua dikenakan kompaun RM1,000. Semua sudah bayar termasuk anak dan menantu saya.
“Polis adil dan saksama, tidak ada unsur pengurangan dari segi kompaun. Ikut undang-undang kena bayar RM1,000 dan tidak ada pengurangan kompaun. Kita juga syukur tidak dinaikkan. Polis berkeupayaan menguatkuasa dalam cara adil dan tidak pilih kasih,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Bandar Felda Besout 3, Perak hari ini.
Mukhriz berterima kasih kepada polis yang bersikap tegas dengan mengambil tindakan secara adil dan saksama terhadap anak dan menantunya tanpa bersikap pilih kasih.
Jelas Mukhriz, dia sudah memberi peringatan kepada anggota keluarganya untuk mematuhi perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bagi mengekang wabak Covid-19.
“Saya sudah pesan kepada kaum keluarga, musim PKPP jangan langgar dan mesti tunjukkan contoh yang baik. Sebab itulah saya rasa kecewa apabila pelanggaran tetap berlaku dan memang patutlah kompaun dikenakan,” katanya
Sebelum ini media melaporkan, anak individu kenamaan (VIP) yang melakukan kesalahan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP) dengan berada di sebuah pub di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, melebihi masa ditetapkan pada 22 Ogos lalu, sudah diambil tindakan.
Polis melakukan serbuan pada pukul 1.20 pagi. Hasil pemeriksaan, polis turut menahan seorang lelaki India berusia 37 tahun dipercayai pengurus premis, seorang lelaki warga Bangladesh dan 3 wanita Filipina disyaki pekerja di premis berkenaan.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, pihaknya tidak mengamalkan pilih kasih dan tidak sesekali berkompromi terhadap mana-mana individu termasuk anak VIP berkenaan.
“Individu terbabit sudah dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan.
“Ia selaras dengan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No 7) 2020,” katanya.-SM