fbpx
Jenayah

‘MacGyver’ Kubang Pasu akhirnya ditahan polis

‘MACGYVER’ Kubang Pasu yang aktif melakukan kegiatan jenayah pecah masuk premis secara solo akhirnya tumpas apabila dia ditahan polis malam tadi.

Suspek berusia 27 tahun yang juga penganggur itu ditahan pada pukul 12 tengah malam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di kawasan Kampung Paya Nongmi, Changlun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Sup. Mohd. Ismail Ibrahim, hasil siasatan mendapati, suspek disyaki terbabit dalam memecah masuk empat stesen minyak di Napoh, Jalan Kodiang, Kodiang dan Kepala Batas.

Mohd. Ismail berkata, selain itu suspek turut melakukan kegiatan yang sama di sebuah poliklinik dan dua premis perniagaan di daerah ini.

“Hasil soal siasat yang dijalankan, kita telah bejaya menyelesaikan tujuh kes bersangkutan kes pecah kedai dan juga bangunan dalam daerah Kubang Pasu.


“Ini satu kejayaan bagi IPD Kubang Pasu kerana suspek ini ialah individu yang melakukan kerja seorang diri. Dia bukan (anggota) sindiket. Hasil soal siasat, dia mengaku terlibat dengan tujuh kes,” kata Mohd Ismail hari ini.

Mohd. Ismail berkata, suspek yang sama turut dikaitkan dalam kejadian pecah masuk sebuah stesen minyak di Napoh pada 20 Ogos lalu.

Mohd Ismail berkata, pengadu yang membuat pemeriksaan mendapati wang RM200 di kaunter stesen minyak berkenaan dan wang tunai RM1,000 yang diletakkan dalam almari hilang.

Selain itu, dua kotak rokok dan satu kotak pemetik api di premis itu turut lesap.

Suspek berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.

Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia bebas mengambil dadah dan mempunyai dua rekod jenayah sebelum ini.

Katanya, suspek direman enam hari bermula hari ini untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, Mohd. Ismail bersama pegawai dan anggotanya serta Pengerusi Yayasan Cegah Jenayah Daerah Kubang Pasu, Yusof Ariffin mengedarkan 800 jalur gemilang kepada pengguna lalu lintas di hadapan IPD Kubang Pasu. – SM

(Visited 41 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button