Berita

Memuat naik kandungan palsu dan jelik : 8 lagi individu diambil keterangan

CYBERJAYA, 15 Februari 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan lapan (8) individu kerana memuat naik kandungan bersifat palsu dan jelik yang didapati boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat serta boleh membangkitkan kebencian dan persendaan kepada Insititusi Diraja, khususnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Berdasarkan laporan yang dibuat, pasukan penyiasat MCMC membuka kertas siasatan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], dan telah mengambil tindakan merakam keterangan individu-individu yang terlibat melalui lapan (8) operasi pemeriksaan di enam (6) buah Negeri (Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis dan Pahang), kelmarin.

Melalui operasi yang dijalankan, lapan (8) unit telefon pintar dan lapan (8) unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan. Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] (sebelum pindaan) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai adalah diingatkan untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa memuat naik sebarang kandungan di media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet dan tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan berunsur palsu dan kebencian, yang bertentangan dengan nilai dan norma budaya masyarakat majmuk di Malaysia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button