Nasional

Membina masyarakat bertanggungjawab

SEBAIK-BAIK manusia ialah orang paling bermanfaat bagi orang lain.

Oleh itu, apakah amalan kita yang dapat memberi manfaat kepada yang lain? Apakah sumbangan yang boleh kita berikan untuk kebaikan masyarakat dan negara?

Salah satu ruang yang memerlukan sumbangan kita adalah media sosial.

Ini memandangkan ruangan ini menempatkan pelbagai maklumat dari segenap sumber — ada juga maklumat itu yang tidak dipastikan kesahihannya.

Ini lebih-lebih lagi apabila media sosial ketika ini ‘dihujani’ dengan pelbagai berita palsu yang dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat, seterusnya mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Sehubungan itu, baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mendapati media sosial dan pesanan dalam talian telah menjadi platform utama penularan berita palsu mengenai Novel coronavirus.

Berikutan itu, PDRM dan SKMM telah mengenal pasti beberapa individu untuk membantu siasatan penyebaran berita palsu berkenaan.

Perlu diingatkan bahawa penyebar berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan juga boleh dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Terdapat pelbagai mekanisme yang boleh digunakan untuk mengenal pasti sama ada sesebuah maklumat itu palsu atau sebaliknya. Ia bergantung kepada usaha kita untuk mengenalpastinya.

Usaha ini mampu memupuk diri kita untuk menjadi masyarakat yang bertanggungjawab, proaktif dan bertatasusila selaras dengan aspirasi negara.

*Pemikiran analitikal*

Seharusnya jika seseorang itu memperoleh sesebuah berita, perkara utama perlu difikirkannya adalah dari mana sumber berita itu, apa tujuan penyebarannya dan apa kesannya kepada masyarakat umum.

Dengan menggunakan pengamatan secara analitikal sebaik-baiknya, nescaya kita dapat sedikit sebanyak mengenal pasti kesahihan berita berkenaan.

Kita perlu mewujudkan satu pendekatan sendiri untuk mengenal pasti kesahihan maklumat-maklumat ini. Kita perlu menjadi ejen penghalang kepada berita-berita palsu ini.

Jika anda menerima sesebuah berita, adalah dinasihatkan untuk terlebih dahulu meneliti kredibiliti pihak penerbitnya. Tidak semestinya sesebuah artikel yang popular dalam kalangan pengguna media sosial itu tepat dari segi isi kandungannya.

Terdapat maklumat yang terang-terangan datang daripada sumber yang meragu-ragukan dan boleh disanggah dengan mudah.

Namun begitu, jika maklumat-maklumat itu sukar untuk disahkan, kewujudan media-media arus perdana boleh dimanfaatkan.

Laporan berita daripada agensi berita nasional, Bernama boleh dijadikan sandaran serta rujukan.

Terdapat juga laman web berfungsi sebagai ‘fact checker’ seperti sebenarnya.my yang menyiarkan maklumat-maklumat sahih kepada orang ramai sekali gus memadam dakwaan-dakwaan palsu yang wujud.

Kesimpulannya, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab adalah menjadi peranan kita untuk memastikan rakyat secara keseluruhannya tidak terbelenggu dengan permasalahan berita palsu ini.

Peranan kita sebagai ejen penghalang berita palsu adalah penting untuk memastikan berita-bertia palsu ini tidak tersebar sehingga membawa kepada kemudaratan yang merugikan kepada negara.

Orang ramai turut perlu diberikan pendedahan seluas-luasnya terhadap kaedah pemikiran secara analikal dalam membendung penularan anasir berita palsu ini terutama menerusi iklan-iklan serta pengumuman khidmat masyarakat (PSA).

Jika tanggungjawab memerangi penyebaran berita-berita palsu ini dapat digalas oleh setiap masyarakat secara keseluruhannya, sudah pasti masalah ini dapat dihapuskan dengan efektif. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button