Melayu sendiri anggap media Melayu picisan
SIKAP taksub terhadap ideologi politik menjadi salah satu punca kewartawanan Melayu di negara ini ‘terbunuh’ dan tidak berkembang berbanding pemberitaan dalam bahasa Cina.
Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Ahmad Murad Merican berpandangan, terdapat budaya dalam kalangan orang Melayu yang menganggap parti yang disokong mereka sebagai parti ‘dunia dan akhirat’.
Keadaan itu, jelas beliau, mengakibatkan kumpulan berkenaan menolak untuk membaca bahan berita berbahasa Melayu sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.
“Ini satu yang sedang berlaku. Dan juga dalam sejarah kewartawanan di Malaysia, terdapat beberapa contoh di mana ideologi politik telah membunuh surat khabar Melayu itu.
“(Ia bermula) Sejak 1961. Sebelum itu, surat khabar itu muncul pada 1938 (syarikat) dan 1939 (surat khabar diterbitkan). Ia adalah surat khabar bebas, radikal, serta tidak bertaut kepada mana-mana ideologi politik.
“Tetapi selepas diambil alih oleh satu parti politik, dan seterusnya selama hampir lebih 40 tahun, ia mati oleh sebab cengkaman parti politik itu.
“Jadi dalam kalangan orang Melayu, kita mesti sedar bahawa kita jangan sombong, jangan angkuh, (jangan) oleh kerana surat khabar itu tidak menyokong kepercayaan kita, maka kita tidak baca,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Awani sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022, di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), UIAM, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Murad berkata, situasi semakin menyedihkan apabila ada dalam kalangan cendekiawan Melayu yang turut ‘menolak’ untuk membaca akhbar-akhbar Melayu, dengan menyifatkan ia sebagai institusi picisan dan tidak boleh dipercayai.
Tegas beliau, tanggapan bahawa kewartawanan Melayu tidak lagi berguna dan berfungsi adalah tidak benar.
Justeru, Ahmad Murad berkata, sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina yang menggunakan akhbar sebagai ‘lidah’ mereka wajar dicontohi oleh masyarakat Melayu.
“Kita mesti angkat kewartawanan Melayu sebagai kewartanan kebangsaan, dan bukan kewartawanan lain.
“Bukan hanya untuk orang Melayu tetapi untuk negara. Ini mesti diuar-uarkan oleh media Melayu sendiri.
“Mereka mesti pandai mengurus cabaran dalam talian, bukan hanya mengadakan e-paper atau link (pautan) tetapi bagaimana kita salurkan kandungan itu kepada sasaran kita, di mana orang baca (bahan berita) bahasa Melayu dengan penulisan berkualiti dalam konteks seharian,” ujarnya lagi.
Mengambil contoh situasi di Indonesia, Ahmad Murad menambah, dunia kewartawanan di negara itu dilihat lebih berkembang berbanding di Malaysia kerana rakyat di negara itu tidak meremehkan bahasa Indonesia.
Tegasnya, pemerintah juga seharusnya tahu mengenai fungsi kewartawanan Melayu dalam aspek memberikan teguran kepada kerajaan.
“Kalau lihat di Padang, Medan, di Indonesia, ada satu percambahan dan persaingan sihat dari segi perbezaan pendapat, ini yang perlu dilakukan di Malaysia.
“Bukan semua orang Melayu baca surat khabar Melayu, (tetapi) mereka meremehkan kewartawanan Melayu. Tidak ada masalah itu di Indonesia, mereka tidak meremehkan bahasa Indonesia, dan kita perlu atasi masalah ini,” katanya.
Pemerkasaan Kewartawanan Melayu
Selain itu, Ahmad Murad berpandangan kewartawanan Melayu perlu melalui proses pembaharuan dalam usaha untuk memperkasakan semula bidang tersebut.
Langkah tersebut katanya termasuk memperkenalkan subjek khusus mengenai sejarah kewartawanan Melayu di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Selain itu, penganjuran HAWANA 2022 juga diharap dapat menyusun atur profesion kewartawanan agar ia dilihat sebagai satu kerjaya yang boleh dipercayai dan mempunyai integriti yang tinggi dalam menyampaikan pemberitaan yang berkualiti.
“Sejak 1800, kewartawanan telah wujud di Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu, iaitu lebih 200 tahun. Namun, dalam sejarah Malaysia moden terdapat pelbagai cabaran.
“Walaupun dahulu sebelum perang dunia kedua, ada cabaran-cabarannya, ada arus aliran perdebatan mengenai peranan kewartawanan dan liputan kewartawanan.
“Namun dalam masa 65 tahun kebelakangan dan seterusnya, setelah kemunculan internet di Malaysia, dan disusuli dengan kemunculan blog dan media dalam talian, serta apa yang dikatakan sebagai Citizen Journalism, maka perlu dilihat kembali tanggapan kewartawanan dan perlu dididik semula.”
Kata Ahmad Murad, masyarakat wartawan perlu mendidik diri mengenai kewartawanan.
Pada masa sama, masyarakat umum juga perlu mengetahui semula apa itu kewartawanan dan menyemak kurikulum serta sudut perspektif bagaimana kewartawanan itu boleh dikaji.
“Kita perlu melihat kewartawanan itu bukan hanya dalam konteks teknologi tetapi juga dalam konteks perkembangan dan cabaran-cabaran teknologi baharu,” katanya.