Melayu jadi bangsa mundur, terpinggir jika berpecah – Sultan Selangor
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan sekiranya perpecahan dalam kalangan orang Melayu akibat perbezaan fahaman politik akan membuatkan umat Islam terus lemah di negara ini.
Sultan Sharafuddin turut menegaskan, nescaya Melayu akan hilang kuasa memerintah negara malah akan menjadi satu bangsa yang mundur dan terpinggir di negara sendiri.
Baginda bertitah peristiwa yang berlaku di beberapa negara Islam terutamanya di Timur Tengah dan sejarah keruntuhan Kerajaan Melayu Melaka juga boleh diambil iktibar serta tauladan.
“Ini bagi menunjukkan bahawa sesebuah kerajaan yang hebat juga boleh runtuh akibat perpecahan dan permusuhan dalam kalangan umat Islam.
“Malah, apa yang dapat kita lihat sekarang ini adalah orang Melayu telah berpecah kepada banyak golongan kerana perbezaan fahaman politik walaupun pada asasnya parti-parti politik tersebut mempunyai matlamat yang sama iaitu mendaulatkan Islam dan mempertahankan hak-hak serta kepentingan orang Melayu,” titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Al-Ma’arufiah, Kampung Parit Baru, Sungai Air Tawar, di sini, hari ini.
Sultan Sharafuddin menyeru agar semua nazir dan imam di negeri tersebut supaya memandang serius tentang perkara itu dan memastikan institusi itu memainkan peranan sebagai pusat perpaduan umat Islam melalui ibadah, dakwah, pengajian dan program kemasyarakatan.
Malah, baginda turut mengingatkan supaya program-program tersebut tidak dipergunakan untuk kepentingan golongan-golongan tertentu.
Baginda turut menasihati rakyat Selangor agar sentiasa mengelakkan daripada sebarang sengketa dan permusuhan sesama sendiri.
“Beta sedar bahawa dalam kalangan rakyat Beta akan ada perbezaan fahaman dan pandangan sama ada dari segi politik dan pendekatan pentadbiran negara. Namun, Beta mengharapkan agar perbezaan ini tidak menjadi punca dan pencetus kepada sebarang perpecahan, pertelingkahan dan permusuhan dalam kalangan umat Islam amnya dan orang Melayu khususnya,” titahnya.
Dalam pada itu, baginda turut menyentuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka berlangsung pada Jun atau Julai ini dengan menasihatkan rakyat supaya memilih pemimpin amanah, bertanggungjawab dan tidak mengamalkan rasuah.
“Beta juga mengingatkan semua pihak agar berhemah semasa berkempen dan mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Elakkan dari perbuatan fitnah-memfitnah serta menyebarkan berita-berita palsu, menghasut rakyat untuk membenci terhadap mana-mana pihak atau pun mana-mana kerajaan ketika tempoh kempen pilihan raya diadakan,” tegas Baginda.
Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan Adilfitri kepada 478 asnaf, fakir, miskin dan mualaf serta menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama rakyat.
— BERNAMA
Artikel berkaitan > Melayu-Islam terancam?