Nasional

Mekar: JPN terima 51,029 permohonan Kad Pengenalan, Sijil Kelahiran

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) telah menerima 51,029 permohonan urusan kad pengenalan dan sijil kelahiran menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) sejak 2019.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, JPN akan terus komited dan mempergiatkan lagi program ini bagi mencapai matlamatnya dalam membantu golongan sasaran.

“Aktiviti turun padang seperti ini yang akan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat akan diteruskan selaras dengan slogan  ‘Rakyat Di Hati JPN’,” katanya.

Terdahulu Ruslin membuat penyerahan Kad Pengenalan kepada seorang penduduk, Ku Chum Ku Daai, 87, dari Kampung Bunga Emas, Simpang Empat, Perlis, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPN Perlis, Madihah Muhammad.

Sebelum penyerahan ini, proses permohonan dokumen telah dilakukan oleh pasukan mobile JPN Negeri Perlis pada 22 Mac yang lalu.

KU CHUM KU DAAI gembira menunjukkan kad pengenalan baru menerusi program MEKAR JPN Perlis.

Permohonan Ku Chum telah diproses di bawah kategori warga emas.

Warga emas ini hilang kad pengenalan kali pertama.

Keadaan ini menimbulkan kesulitan kepada pemohon ketika ingin mendapatkan kemudahan rawatan di klinik atau hospital.

Ku Chum kelihatan gembira akhirnya memiliki kad pengenalan baharu dan merasa bertuah kerana kad pengenalannya diserahkan oleh Ketua Pengarah JPN.

Ruslin berkata, seiring dengan penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung selama tiga hari di Perlis mulai 25 sehingga 27 Mac 2022, JPN juga telah menyediakan perkhidmatan Bas Mobile di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negeri Perlis di bawah Program MEKAR.

“Semua dijemput hadir ke lokasi berkenaan bagi mendapatkan perkhidmatan berkaitan Kad Pengenalan, Sijil kelahiran dan kematian serta khidmat nasihat,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button