Auto TravelEkonomi

PROTON melancarkan inisiatif tenaga solar di Tanjung Malim

Kemudahan panel solar dwi muka di tempat letak kereta yang terbesar di Malaysia

PROTON telah melancarkan inisiatif tenaga solarnya di kilang Tanjung Malim, projek yang akan membantu pengeluar kereta nasional itu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 11,536 tan setahun sambil menjimatkan kos utiliti. Gabungan tenaga yang dijana daripada kemudahan panel solar dwi-muka di tempat letak kereta terbesar di Malaysia berserta panel solar yang dipasang di atas bumbung kilangnya ialah 12MWp (puncak Megawatt), cukup untuk memenuhi sehingga 25% daripada penggunaan kuasa kilang itu.

Tempat letak kereta berpusat PROTON yang meliputi kawasan seluas 23.4 ekar menyediakan ruang parkir untuk 2,880 kereta dan digunakan sebagai tempat transit untuk kereta yang dikeluarkan di Tanjung Malim sebelum diedarkan kepada pengedar dan cawangan di seluruh negara. Ruang itu kini diliputi oleh 20,544 panel solar dwi muka, yang dinamakan demikian kerana ia boleh menjana tenaga daripada cahaya matahari secara langsung pada bahagian atas serta pantulan cahaya matahari dari permukaan jalan dan kereta yang diletakkan di bawah panel. Ia juga menyediakan tempat berteduh bagi meletakkan dan melindungi kereta yang baru dihasilkan, daripada unsur-unsur kerosakan.

Dibina dan ditauliahkan oleh Kumpulan Pekat dan rakan bersekutunya MFP Solar, kemudahan panel solar tempat letak kereta itu boleh menjana 9MWp dan merupakan yang terbesar di Malaysia dan juga antara semua pengeluar kereta di negara ini. Ia juga berpotensi untuk mengurangkan bil elektrik PROTON sebanyak RM4.39 juta setahun dengan penjimatan sebanyak RM1.46 juta melalui 3MWp yang dijana oleh panel yang dipasang di atas bumbung kilang.

“Kemudahan panel solar PROTON adalah sebahagian daripada inisiatif hijau syarikat yang menyahut cabaran untuk membantu Malaysia memenuhi sasaran kerajaan untuk menjadi negara neutral karbon menjelang tahun 2050. Selain daripada penjimatan utiliti, penggunaan sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui akan membolehkan kami mengurangkan 11,536 tan karbon dioksida di atmosfera yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat dan ekosistem di Tanjung Malim,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

PROTON memulakan perjalanan untuk mengurangkan karbonnya sejak 2015. Syarikat itu melancarkan PROTON Green Wheel dan Polisi Hijau pertamanya pada 2015, yang terdiri daripada 5 fasa. Fasa 1 bermula dengan perlaksanaan Sistem Pengurusan Tenaga di kilang pengeluaran dan ibu pejabatnya untuk mengumpul dan menilai data penggunaan.

Selepas pengumpulan dan penganalisisan data tenaga selama dua tahun, syarikat itu mewujudkan garis dasar tenaga di seluruh kilang dan pejabatnya yang memberikan gambaran yang lebih mendalam untuk mengurangkan penggunaan tenaga.

Fasa 2 terdiri daripada langkah-langkah Kecekapan Tenaga di mana beberapa projek penjimatan tenaga telah dilaksanakan. Ini terdiri daripada pemasangan lampu LED, penggantian penyejuk dengan penyejuk magnet, dan menggunakan unit pemampat induk untuk menyegerakan bekalan udara termampat untuk memadankan permintaan semasa pada setiap bahagian pengeluaran.

Ini diikuti oleh Fasa 3, yang memberi tumpuan kepada Pengurusan Sisa dan Air. Untuk mencapai matlamatnya, PROTON melaksanakan sistem di mana air kitar semula digunakan untuk menara penyejuk pemampat dan menambah air untuk tangki air pili (hydrant) di kilang Tanjung Malim.

Fasa 4 ialah penggunaan tenaga boleh diperbaharui melalui loji tenaga solar manakala Fasa 5 bertujuan mendigitalkan semua data tenaga PROTON dalam “cloud server” untuk memperkenalkan teknologi AI dan Analitis Data Besar bagi membolehkan pengurusan tenaga syarikat dengan ramalan penggunaan tenaga dan langkah preskriptif untuk mengurangkan penggunaan tenaga di semua kilang dan kemudahan pejabat.

Dalam tempoh lima tahun dari 2015 hingga 2020, inisiatif ini telah mencapai penjimatan bil tenaga sebanyak RM20 juta atau bersamaan penjimatan 55,000 MWj dan lebih 40,000 tan pengurangan pelepasan karbon dioksida ke udara. – SM

(Visited 298 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button