Megat D Shahriman sedia lepaskan jawatan
DATUK Seri Megat D Shahriman Zaharudin bersedia melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) dan berjanji tidak akan membuat pusingan U.
Megat D Shahriman yang juga Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) bagaimanapun berkata beliau memerlukan sedikit masa sebelum menunaikan janjinya itu bagi menyelesaikan beberapa isu pentadbiran.
Difahamkan keputusan untuk melepaskan jawatan dalam persatuan sukan air itu dibuat kerana mahu menumpukan perhatian kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
“Menyentuh mengenai janji saya untuk melepaskan jawatan, bila sampai masanya saya akan tentukan. Apa yang pasti saya tidak akan membuat pusingan U, namun saya perlukan sedikit masa lagi kerana perlu menyelesaikan beberapa isu pentadbiran.
Saya minta Timbalan Presiden MASCA (Datuk Michael Wong) supaya bersabar, sampai masanya saya akan lepaskan jawatan. Saya perlu pastikan peralihan kuasa di MASCA dilaksanakan dengan baik.
Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana pada akhirnya ahli gabungan yang akan menentukan siapa yang layak,” katanya pada sidang media bagi menjelaskan isu berbangkit mengenai MASCA, di sini hari ini.
Sebelum ini, ahli gabungan badan induk sukan air itu telah mengemukakan surat hilang kepercayaan terhadap Megat D Shahriman yang didakwa menjadi dalang kepada kemelut MASCA menjelang Sukan SEA Filipina.
Megat D Shahriman menegaskan tidak mengetahui punca sebenar surat hilang kepercayaan diberikan kepadanya dan antara kandungan dalam surat itu turut mendakwa dan menyatakan bahawa beliau telah menjadikan akaun MASCA sebagai akaun peribadi.
Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan mendedahkan 95 peratus daripada jumlah dana kewangan MASCA adalah melaluinya.
“Akaun MASCA bukan akaun peribadi. Tapi saya pasti saya seorang sahaja individu yang letak wang (dalam akaun) untuk pembangunan sukan negara. Kalau ada yang lain, sila tampil ke depan. Akaun MASCA sekarang tengah diaudit dan ia akan dikongsi dengan semua orang.
Majlis Sukan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan pernah masukkan duit sebanyak empat kali. Semua ada rekod dan saya difahamkan 95 peratus adalah dari saya sendiri,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kegagalan pasukan kanu dan perahu naga yang pulang dengan tangan kosong dari Sukan SEA 2019, Megat D Shahriman berkata beliau akur dengan kegagalan itu namun menegaskan adalah tidak adil jika hanya beliau menggalas tanggungjawab itu.
Beliau mendakwa pasukan kanu dan perahu naga yang dihantar mewakili Malaysia itu adalah bukan seperti yang diluluskannya selaku Presiden MASCA.- BERNAMA