Nasional

MBMB catat sejarah lantik Ahli Majlis Termuda

 

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 23 Mac – Majlis Bandaraya Melaka Sejarah (MBMB) hari ini mencatat sejarah tersendiri selepas 19 tahun penubuhannya apabila melantik seorang pelajar daripada Politeknik Kota Melaka sebagai Ahli Majlis
MBMB termuda.

Abdul Rafi Mu’iz Omar, 20, pelajar jurusan Diploma Perniagaan Antarabangsa Semester Ketiga di politeknik
berkenaan mengangkat sumpah jawatan tersebut dan menandatangani dokumen pelantikan di hadapan Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu di Graha Makmur di sini.

Dia adalah ahli majlis MBMB terakhir iaitu yang ke-25 mengangkat sumpah selepas kesemua mereka telah pun
melafaz ikrar tersebut pada 15 Februari lalu.

Zainal ketika berkata, Abdul Rafi Mu’iz adalah ahli majlis PBT termuda yang pernah dilantik sejak penubuhan MBMB pada 2003.

Menurutnya, sebelum ini golongan belia hanya dijemput hadir pada mesyuarat majlis PBT tetapi sekadar boleh
memberi pandangan tetapi tidak boleh membuat keputusan atau pun mengundi.

Justeru katanya, melalui pelantikan Abdul Rafi Mu’iz itu, ia merupakan aspirasi baharu adunan orang lama
bersama wakil golongan belia menganggotai ahli majlis MBMB agar dapat memahami agenda pembangunan yang
dibawa oleh PBT itu.

“Dengan adanya Abdul Rafi Mu’iz, kita akan dapat mendengar suara dan pandangan daripada golongan belia
kerana ini amat penting untuk memacu kegiatan PBT mencakupi semua golongan tanpa meninggalkan golongan
belia.

“Bagi saya ini satu perubahan baharu yang sewajarnya dilakukan untuk memberi tempat kepada golongan belia
duduk dalam ahli majlis PBT.

“Bagi MBMB sejak lebih 19 tahun penubuhannya, inilah kali pertama dalam sejarah kita menerima seorang
wakil daripada golongan belia untuk sama duduk memberi pandangan, membuat keputusan dan mengundi,”
ujarnya.

Sementara itu Abdul Rafi Mu’iz ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah, melahirkan rasa terkejut dan
berterima kasih kepada kerajaan negeri dan MBMB kerana menerima pelantikannya sebagai ahli PBT tersebut.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, dia akan cuba membawa suara golongan belia untuk mendapat
perhatian daripada MBMB.

“Saya sangat terharu kerana ini merupakan penghargaan besar apabila anak muda seperti saya diberikan
peluang dan ruang untuk menyandang jawatan sebagai ahli majlis pada usia yang muda.

“Saya akan cuba memberi perkhidmatan terbaik khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang khususnya
aduan-aduan daripada golongan belia serta tidak terkecuali penduduk sekitarnya,” ujarnya.

Katanya, dia akan mendapat tunjuk ajar daripada orang yang berpengalaman dan cuba untuk memberikan
perkhidmatan terbaik.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad
kerana memberi kepercayaan mencadangkan namanya untuk dilantik sebagai ahli majlis MBMB yang baharu.

habis…./

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button