MB Selangor minta masyarakat Tionghoa bersabar hadapi pandemik
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meminta mengajak semua rakyat terutama masyarakat Tionghoa bersabar mengharungi cabaran baharu berikutan pandemik Covid-19.
Katanya, beliau yakin kesukaran yang dihadapi ketika ini termasuk sambutan Tahun Baharu Cina terpaksa dirai dalam suasana norma mampu ditempuhi.
“Tahun baharu ini menjadi cabaran baharu bagi kita semua dan saya percaya jika kita terus bersabar, semua ini mampu dilalui,” katanya ketika program sempena Tahun Baharu Cina 2021 peringkat negeri dalam talian malam tadi.
Tahun ini buat pertama kali kaum Cina di negara menyambut perayaan itu dalam suasana PKP berikutan Covid-19 melanda negara sekitar Mac tahun lalu.
Dalam ucapannya itu, Amirudin berkata beliau memahami kesukaran mereka menyambut perayaan dalam suasana pematuhan tatacara operasi piawai termasuk penjarakan fizikal.
“Biasanya perayaan ini disambut dengan masyarakat Tionghoa pulang ke kampung untuk bersama-sama dengan keluarga dan sanak-saudara.
“Tidak pernah terfikir kita akan begitu sukar untuk kembali bersatu bersama keluarga, (namun) kita semua perlu bersikap optimis dalam menyambutnya,” katanya.
Menteri Besar itu juga berazam meneruskan pelbagai program kebajikan dan pembangunan ekonomi negeri demi memenuhi harapan seluruh lapisan rakyat.
Beliau juga mahu segala kekurangan tahun lalu diteliti dan diatasi seterusnya negeri dapat dibangunkan dengan lebih cemerlang selaras misi Selangor Negeri Pintar menjelang 2025. – SM