Maybank Islamic menang Anugerah Bank Islam Terbaik Dunia 2020
MAYBANK Islamic Bhd dinobatkan sebagai Bank Islam Terbaik Dunia 2020 oleh majalah yang berpusat di London, The Banker.
Dalam kenyataan hari ini, bank itu berkata The Banker mengiktiraf cabang perbankan Islam kumpulan itu sebagai antara institusi kewangan patuh Syariah terkemuka di dunia.
“Para hakim kagum dengan komitmen bank untuk kekal mampan, perkembangan penawaran digitalnya, dan pembukaan cawangan pertamanya di Emiriah Arab Bersatu (UAE),” katanya.
Katanya perbankan Maybank Islamic telah diumumkan sebagai ‘bank patuh Syariah terkemuka Malaysia’ sebanyak empat kali, dan kemenangan pada tahun ini sebagai Bank Islam Terbaik Dunia adalah yang kedua selepas kemenangan pertama pada 2015.
“Pencapaian tersebut dicapai selepas prestasi kewangan yang baik pada 2019, dan semasa modal Tahap 1 merosot, jumlah aset Maybank Islamic meningkat 7.1 peratus kepada US$58.2 bilion, dengan keuntungan naik 25 peratus kepada US$611.5 juta pada tahun itu.
“Pulangan ke atas ekuiti (ROE) meningkat daripada 22.5 peratus pada 2018 kepada 26.7 peratus pada 2019, manakala nisbah kos kepada pendapatan tidak berubah pada 32.5 peratus,” menurut Maybank.
Katanya para hakim turut melihat pengembangan bank itu ke UAE sebagai pengembangan baharu yang berani bersama dengan prestasi operasi dan kewangannya yang kukuh, menjadikan Maybank Islamic sebagai pemenang yang layak untuk anugerah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutinya, Datuk Mohamed Rafique Merican menyifatkan penghargaan itu sebagai bukti komitmen dan keupayaan Kumpulan Maybank untuk memanfaatkan kedudukannya sebagai penggiat kewangan terkemuka di rantau ini untuk memberikan nilai kepada pelanggan dan komuniti di seluruh rantau ini dan seterusnya. – BERNAMA