PERSATUAN Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) memohon kerajaan agar menyegerakan pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berkaitan kemudahan pembiayaan sektor pelancongan bernilai RM1 bilion.
Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata kemudahan pembiayaan itu sepatutnya dimulakan pada awal Julai sebelum ditangguhkan pelancarannya ke 15 Julai lepas namun sehingga kini, masih tiada sebarang pengumuman berkaitan perkara tersebut oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mahupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Beliau berkata ketika perbincangan bersama BNM pada 16 Jun lepas, pihaknya meminta bank pusat itu meneliti tiga perkara utama untuk merancakkan kembali sektor pelancongan iaitu memberikan geran pelancongan, pinjaman mudah dan melanjutkan tempoh moratorium.
Justeru itu, Mohd Khalid berkata MOTAC seharusnya memainkan peranan sebagai orang tengah dalam mempermudahkan perbincangan dengan penyedia dana seperti yang dimaksudkan BNM dan agensi kerajaan berkaitan agar pemain industri pelancongan dapat berjumpa bagi memudahkan urusan penyaluran dana berkenaan.
Katanya MOTAC wajar menggunakan dana sedia ada seperti Tabung Infrastruktur Pelancongan sebanyak RM1 bilion dan Tabung Khas Pelancongan (SFT3) untuk diberikan kepada penggiat industri supaya dapat memulihkan kembali sektor tersebut dengan segera.
“Skim Galakan Melancong (GAMELAN) juga wajar dipercepatkan pembayaran semula kepada penggiat sektor pelancongan kerana ini bukanlah masanya untuk melayan karenah birokrasi seperti menunggu kesemua pegawai bermesyuarat sebelum sesuatu kelulusan dibuat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Pada 9 Julai lepas, Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata kementerian itu dan BNM akan mengumumkan mekanisme di bawah skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) pada pertengahan bulan ini yang bernilai RM1 bilion.
Sementara itu, Mohd Khalid mencadangkan agar kerajaan negeri, melalui pihak berkuasa tempatan, dapat memberikan pengecualian cukai pintu mahupun cukai tanah kepada penggiat pelancongan bagi membantu industri tersebut bangkit semula. – BERNAMA