Politik

Mat Sabu tolak nasihat tinggalkan, maki hamun Tun M

PRESIDEN Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu mendedahkan beliau dinasihatkan agar meninggalkan kerjasaman dengan Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mohamad turut mendedahkan beliau turut dinasihatkan agar ‘menghentam’ Dr. Mahathir selepas meninggalkan bekas Perdana Menteri itu. Namun dia telah menolak nasihat tersebut.

Ahli Parlimen Kota Kota Raja itu berkata, beliau tidak akan memaki hamun Dr. Mahathir setelah menjalinkan kerjasama melawan kerajaan ‘kleptokrat’.

“Apabila ada suara menasihatkan saya untuk meninggalkan Tun Dr Mahathir dan menghentam beliau, saya katakan tidak.

“Kita telah bekerjasama dengan beliau, sama sama sepentas melawan kerajaan kleptokrat yang sangat berkuasa, mengenali diantara satu sama lain, masakan saya hendak memaki hamun beliau,” kata Mohamad.

Mohamad berkata, dia berlawan bersungguh-sungguh menentang Barisan Nasional yang dipimpin Dr. Mahathir sehingga ditahan di bawah ISA sebanyak dua kali  iaitu dari 1984 hingga 1986 dan dari 1987 hingga 1989.

Malah katanya, pelbagai kata dan hentaman telah beliau tujukan kepada Dr. Mahathir dalam ucapan ketika melawan BN dan bekas perdana menteri itu.

“Tetapi apabila beliau menubuhkan Gerakan Selamatkan Malaysia dan seterusnya menubuhkan Parti Bersatu untuk melawan kerajaan BN pimpinan Najib Razak, serta menghulurkan tangan untuk bekerjasama, maka kita terus bekerjasama dan bergabung di bawah Pakatan Harapan.

“Kerja keras yang kita lakukan telah berjaya di dalam pilihanraya yang lalu dan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018. Apabila kita bergabung, untuk berpisah adalah sukar. Kita sentiasa mencari titik persamaan dan melupakan perbezaan silam dan ianya membuahkan kejayaan,” kata Mohamad.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan untuk menerangkan sikapnya yang sentiasa mencari jalan memperbanyakkan kawan dan mengurangkan lawan.

Mohamad berkata, sikap itu sama dalam kerjasama parti Amanah dengan DAP dan PKR.

“Hubungan kita dalam Pakatan Harapan khususnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah hubungan yang lama sejak 20 tahun yang lalu sama sama bersusah payah dalam perjuangan yang sama.

“Ianya mesti dipertahankan, disebalik semua pihak mempunyai kelemahan masing masing yang boleh diperbaiki. Yang lebih utama bagi kita adalah kesatuan dan persahabatan. Dalam masa yang sama kita sentiasa mencari jalan memperbanyakkan kawan dan mengurangkan lawan. Inilah sikap saya,” jelas Mohamad.

Mohamad berkata, di dalam kerjasama tersebut setiap orang ada kelebihan dan kelemahan.

Namun apabila sudah bergabung amat sukar untuk berpisah disebabkan lamanya perhubungan sesama mereka dan kesamaan titik perjuangan.

Perhubungan Amanah dengan PKR ketika ini dikatakan berada dalam persimpangan sama ada untuk terus mengadakan kerjasama dengan Dr. Mahathir sedangkan PKR sudahpun menolak sebarang kerjasama yang mempunyai kaitan dengan Ahli Parlimen Langkawi itu.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button