Politik

Mat Sabu perlu beri laluan kepada kepimpinan baharu

AMANAH kini berdepan dengan krisis besar apabila tiga pemimpinnya memutuskan untuk meninggalkan parti itu dan menyertai PKR.

Selaku Presiden, Mat Sabu sabtu lalu menjadi cemas kerana ia satu petanda bahawa kepimpinan beliau mula ditolak oleh parti yang ditubuhnya sendiri.

Amanah adalah parti serpihan Pas yang ditubuhkan oleh Mat Sabu selepas dipecat oleh Pas menjelang pilihan raya yang lalu.

Mat Sabu yang merupakan Menteri Pertahanan semasa kerajaan PH memerintah, berjaya menarik sebilangan pemimpin yang mempunyai haluan pemikiran berbeza dengan Presiden Pas untuk membentuk parti baharu dengan dibantu oleh Salehuddin Ayub.

Sudah terang lagi bersuluh, Amanah sebenarnya parti tajaan DAP yang sejak sekian lama gagal mendapat sokongan orang Melayu dan mahu menggunakan Amanah sebagai alatnya yang baharu.

Amanah yang merupakan parti setahun jagung mempunyai banyak kelemahan sama ada struktur pemimpin tertinggi mahupun peringkat akar umbi.

Bagaimanapun oleh kerana mereka mendiamkan diri, jadi parti dan para pemimpinnya tidak menjadi sasaran kritikan masyarakat kecuali Khalid Samad yang sering bergaduh dengan Najib Razak.

Bagaimanapun setelah tidak berada di dalam kerajaan Khalid juga kelihatan sudah kehilangan bisa dan sudah tidak seksi dimata masyarakat.

Mat Sabu dan Salehuddin terus mendiamkan diri, dan sikap mereka menyebabkan ahli parti semakin risau dan ragu dengan hala tuju parti.

Pemerhati politik menjangkakan Amanah akhirnya akan dibubarkan kerana para pemimpinnya kini kemungkinan besar sedang dipancing oleh Bersatu yang sedang cuba menguatkan parti dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mungkin juga ada yang menyeberang ke UMNO kerana UMNO semakin kuat dan berpotensi untuk menang pada pilihan raya akan datang.

Ada pihak di dalam UMNO cuba menyebarkan idea untuk bekerjasama dengan Amanah sebagaimana dilakukan di Perak tempoh hari ketika mereka menjatuh menteri besar.

Kerjasama dengan UMNO dengan Amanah ini samalah bekerjasama dengan DAP, tetapi ia lebih dapat diterima berbanding kerjasama secara langsung dengan DAP yang dianggap musuh sejak azali.

Dengan kedudukan Amanah yang semakin goyah, bisik-bisik rakan dalam politik memberitahu orang UMNO kini lebih mesra dengan PKR.

Mudah cerita UMNO lebih mesra dengan PKR berbanding Bersatu yang bersama mereka di dalam kerajaan PN.

Ada juga gerakan untuk membawa para pemimpin Pejuang yang gagal mendaftarkan partinya ke dalam UMNO. Kenyataan Tun M tempoh hari bahawa beliau bersedia kembali bersama UMNO tidak harus dipandang enteng.

Tun M pada kebiasaannya hanya akan bercakap apabila dia sudah bergerak ke arah itu dan bukannya hanya cakap-cakap kosong.

Ini bermakna Amanah perlu membebaskan dirinya daripada cengkaman DAP bagi membolehkannya bekerjasama dengan UMNO dan PKR.

Jika pakatan baharu itu diwujudkan dan menang pada pilihan raya akan datang, tinggallah Bersatu, Pas dan DAP bercengkerama di bawah bulan purnama sebagai pembangkang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button