Politik

Maszlee kesal Belanjawan 2021 tiada impak kepada persekolahan ketika pandemik

TERDAPAT beberapa isu berkaitan persekolahan masih belum dijelaskan oleh Menteri Pendidikan berhubung peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2021.

Selain isu pembelajaran, beberapa perkara berbangkit seperti kemudahan peranti kepada murid bagi sesi pembelajaran secara maya, nasib pengusaha kantin dan bas sekolah serta pelajar miskin.

Menteri Pendidikan, Senator Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dikatakan tidak menyentuh isu tersebut dalam penggulungannya di Dewan Rakyat.

Hal demikian penting kerana membabitkan nasib pemegang taruh-pemegang taruh terbesar dalam sektor pendidika.

“Pada 8 November yang lalu, saya telah memperincikan 7 soalan penting kepada YB Senator Menteri Pendidikan.

“Ketujuh-tujuh soalan ini saya tanyakan sekali lagi ketika membuat perbahasan Belanjawan 2021 pada 16 November lalu.

“Namun ketika membacakan teks penggulungan perbahasan beberapa hari lepas, Menteri Pendidikan tidak mengendahkan soalan-soalan yang diutarakan.”

Demikian kata bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menerusi satu kenyataan yang dimuat naik beliau dalam Facebooknya hari ini.

Katanya terdapat isu besar lain yang belum diselesaikan terutama menyentuh kaedah pembelajaran dalam alam maya selain termasuk penyediaan laptop kepada 500 buah sekolah.

Menurut Mazlee, penyediaan laptop itu tidak meliputi 1.7 juta murid lain di 9,723 sekolah yang lain.

Oleh demikian, kerajaan dilihat tidak mempunyai pelan jangka panjang terhadap pengurusan krisis dalam sektor pendidikan terutama ketika negara sedang berhadapan pandemik Koroanvirus (Covid-19).

“Rakyat juga tidak dapat melihat dengan jelas pelan jangkamasa panjang pendidikan anak-anak pasca-pandemik terutamanya bagi golongan ‘lost generation’ yang telah saya dan juga rakan-rakan Ahli Parlimen yang lain suarakan.

“Saya membangkitkan isu ini kerana akhirnya jelas KPM (Kementerian Pendidikan) tiada hala tuju dalam menangani isu Covid-19.

“Menteri Pendidikan tidak menjawab isu guru duka lara serta status pergerakan guru yang telah lama tersekat akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Menteri Pendidikan juga tidak menjawab pertanyaan saya adakah KPM telah melaksanakan libat urus dengan pemegang taruh seperti ibu bapa dan kesatuan guru sebelum memutuskan sebarang keputusan penting yang melibatkan masa depan anak bangsa?

“Saya juga telah menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama bagi sama-sama mencari jalan penyelesaian.

“Saya juga mencadangkan untuk didengar pendapat ibu bapa, kesatuan guru dan pemegang taruh yang lain.

“Saya yakin kita boleh mencari titik tengah yang boleh mengimbangi isu keselamatan dan pendidikan sekiranya kita berlapang dada dan berani membuka ruang kerjasama tanpa mengira perbezaan politik,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button