Nasionalpilihan

Masjid Lama Machap bakal jadi tarikan baharu TMM2024

Masjid Lama Machap berusia lebih daripada 100 tahun yang dibina oleh seorang ulama Bugis Jailani Mendik Masab atau lebih dikenali dengan nama Datuk Machap akan dibaipulih menerusi peruntukan sebanyak RM250,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, masjid itu yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2006 (Akta 645) oleh Jabatan Warisan Negara adalah antara tarikan baharu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurutnya, masjid yang terletak berhampiran Empangan Durian Tunggal itu perlu dibaikpulih berikutan kerosakan pada siling, dinding masjid yang perlu dicat semula dan kawasan sekitar perlu diperindahkan.

Ruang dalam Masjid Lama Machap.

Selain itu katanya, beberapa struktur atas bangunan itu juga telah reput dan menunggu masa untuk jatuh ke lantai.

“Saya difahamkan masjid ini dibina oleh seorang ulama Bugis dikenali Datuk Machap yang datang ke Melaka sekitar tahun 1500 sewaktu zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah.

“Dia membina masjid ini selepas melarikan diri ke sini apabila gagal membantu menentang Portugis pada tahun 1511 dan ia kekal sehingga hari ini,” ujarnya kepada pemberita selepas melakukan lawatan meninjau Masjid Lama Machap di sini hari ini.

Ngwe Hee Sem menunjukkan plague yang memaparkan senarai nama penyumbang dari kaum Tiong Hua dalam tulisan cina bagi membina Masjid Lama Machap di Alor Gajah, Melaka.

Tinjauan Utusan Malaysia pula mendapati ruang dalam masjid itu masih berlantaikan simen dan bukannya karpet, mimbarnya pula terlalu kecil selain ruang dalamnya begitu ringkas bukan seperti masjid-masjid lama yang lain di negeri ini.

Mengulas lanjut Hee Sem berkata, keunikan masjid ini bukan sahaja terletak pada seni binanya tetapi lebih menarik pembinaannya turut mendapat sumbangan daripada kaum Tiong Hua.

Katanya, nama-nama penyumbang dari kaum berkenaan terpampang di dinding masjid itu dalam tulisan cina.

“Keistimewaan masjid yang terletak bersebelahan kawasan Empangan Durian Tunggal juga terdapat lukisan pada dinding masjid yang jarang ditemui pada masjid-masjid lama di negeri ini,” ujarnya.

Selain itu katanya, makam Datuk Machap juga terletak berhampiran masjid ini dan dijaga dengan sempurna serta beberapa makam lama yang lain. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button