AgamaNasionalNegeri

Masjid institusi penting bangunkan masyarakat – Pemangku Raja

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, masjid merupakan institusi yang begitu penting dalam membangunkan masyarakat setempat.

Baginda bertitah, ini kerana antara peranan masjid termasuklah sebagai ejen perantara menyatu padukan masyarakat dan membantu menyelesaikan serta memudahkan segala urusan mereka yang berkaitan agama Islam.

Titah Baginda, dalam usaha melahirkan masyarakat berakhlak, adalah amat penting agar sikap profesionalisme diterapkan dalam pengurusan program dan aktiviti dakwah.

“Sikap ini secara langsung dapat menjadikan setiap kakitangan atau pendakwah melaksanakan tanggungjawab dengan lebih gigih dan berdedikasi,” titah Baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan zakat MAIPs kepada masjid ‘The Islamic Center of Southern California’ di 434 S. Vermont Ave, Los Angeles, California, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada pegawainya, Norhayaty Kassim, dari Malaysia dan kini bermastautin di Los Angeles.

Baginda yang diiringi anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berkenan menunaikan solat jamak Zohor dan Asar ketika singgah di pusat Islam berkenaan.

Terdapat pelbagai kemudahan termasuklah sekolah rendah, tadika, dewan serbaguna, kelas serta kuliah agama, perkhidmatan seperti urusan perkahwinan, urusan kematian, kaunseling, kerohanian, pengurusan zakat dan lain-lain lagi di pusat berkenaan.

Pemangku Raja bertitah, setiap Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah perlu menjadi sebuah entiti yang benar-benar menjalankan fungsinya dan beroperasi secara optimum dalam melaksanakan ‘Amar Ma’aruf Dan Nahi Munkar’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan ingatan buat semua tentang institusi keluarga yang baik dapat memelihara akhlak, tatasusila dan kemuliaan manusia melalui ikatan perkahwinan yang sah dengan berpandukan Undang-Undang Keluarga Islam. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button