Masanya sudah tiba UMNO tarik diri dari kerajaan Perikatan Nasional – Nur Jazlan
SETELAH dipermainkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, UMNO seharusnya membuat keputusan tegas menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menarik perhatian itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengingatkan, sekiranya UMNO tidak membincangkan dengan Pas mengenai kesepakatan menguatkan Muafakat Nasional (MN), bukannya PN, dibimbangi lama-kelamaan setiakawan dengan PN akan terus terikat dan tidak menguntungkan UMNO-Pas.
“Ini bukan semangat setiakawan zaman Barisan Nasional (BN), kesepakatan BN ikhlas tetapi PN baru enam bulan sudah tidak boleh dipercayai. Malah, kerajaan (PN) yang dibentuk tidak kuat sebab tidak ada setiakawan, maka lebih baik UMNO tarik diri.
“PRN Sabah membuktikan Bersatu dan PN tidak ikhlas, kita diberi kerusi yang berat (untuk menang), dia (Bersatu) pula kacau daun dengan letakkan calon lain (PBS dan STAR) bertembung dengan calon UMNO…orang UMNO sudah banyak kali beralah.
“Maka, kalau UMNO buat pendirian keluar (PN), mereka yang jadi menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan PN pun mesti tetapkan pendirian, jangan fikir `tembolok’ sendiri sahaja,” katanya kepada Suara Merdeka hari ini.
Nur Jazlan turut mengingatkan bahawa trend kemenangan calon-calon dalam PRN Sabah tidak sama dengan Semenanjung.
“Lapan orang (Bersatu) yang bertanding dan menang adalah bekas pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Hajiji Noor kerana mereka ini bekas menteri dan timbalan menteri (di Sabah) dan dikenali kerana dari UMNO. Tetapi di Semenanjung, pengundi pilih parti, bukannya orangnya (calon) sangat.
“Lagipun Hamzah (Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin) kalau dia bertanding di Larut, ingat dia boleh menang lagikah? Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu) lawan di Mersing, dia boleh menang jugakah?,” katanya.
Nur Jazlan juga meminta Pas menetapkan pendirian sama ada perlu Bersatu dinilai semula keanggotaannya dalam MN setelah Bersatu membuka keahliannya kepada bukan Melayu sebagai ahli bersekutu parti itu.
“Pas juga kelihatannya sangat mudah untuk UMNO beri berapa banyakpun kerusi tetapi daripada pihak Pas pula UMNO tak tahu pendirian parti itu. Jadi, UMNO mesti buat pendirian yang konsisten berhubung kedudukannya dalam PN,” katanya.-SM