Nasional

Masalah bekalan air bersih bukan tanggungjawab Puncak Niaga

PENDUDUK negeri Selangor perlu diingatkan sekali lagi bahawa Puncak Niaga Holdings Berhad tidak lagi bertanggungjawab ke atas semua perkara berkaitan dengan air bersih dan industri air di Selangor.

Peralihan tanggungjawab itu berlaku lima tahun lepas iaitu 15 Oktober 2015 dan sejak tarikh itu, tanggungjawab adalah atas Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) yang diambil alih oleh Kerajaan Negeri Selangor dan seterusnya ditukar nama kepada Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor).

Menurut kenyataan Jabatan Perhubungan Awam Puncak Niaga Holdings Berhad, segala urusan mengenai bekalan air bersih di Selangor tidak lagi diurus oleh Syarikat Puncak Niaga yang diterajui oleh Tan Sri Rozali Ismail.

“Segala urusan yang berkaitan dengan air bersih di Selangor boleh dibincang dan berhubung terus dengan Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor).

“Dengan ini, orang ramai terutamanya pengguna air di Selangor faham dengan peralihan yang berlaku dan segala masalah yang timbul terutamanya putus bekalan air, bolehlah hubungi pihak yang bertanggungjawab,” kata kenyatan itu hari ini.

Penduduk negeri Selangor terus-terusan dibelenggu dengan masalah bekalan air bersih selepas satu demi satu sungai tercemar.

Terkini, bekalan air ke kawasan Putrajaya (sekadar menyebut contoh) terjejas ekoran pencemaran yang berlaku di muka sauk LRA Bukit Tampoi melibatkan Sungai Pajam dan Sungai Batang Benar.

Masalah pencemaran air sungai berbangkit ekoran ladang ternakan itek yang beroperasi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button