Masa untuk Dr. Mahathir ‘tutup’ mulut, Pejuang tiada tempat
MUNGKIN kini merupakan masa untuk Tun Dr. Mahathir Mohamad ‘menutup’ mulut kerana keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Slim malam ini menunjukkan bekas Perdana Menteri itu dan partinya pejuang tidak ada tempat dalam kalangan pengundi.
Demikian pandangan ketua pembangkang Perak, Dr. Aziz Bari berdasarkan kepada jumlah undi yang diperoleh oleh calon bebas. Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang disokong bekas Perdana Menteri itu.
Amir Khusyairi hanya mendapat 2,115 undi atau hanya 13.69 peratus.
Bercakap kepada Malaysiakini, Aziz berkata, itu menunjukkan pengundi tidak lagi menyokong Dr. Mahathir.
“Sepertinya Pejuang tak ada tempat,” kata Aziz kepada Malaysiakini.
Malah Aziz yakin tarikan peribadi terhadap Mahathir semakin berkurangan.
Calon disokong oleh Dr. Mahathir itu juga jelas gagal menarik sokongan penyokong Pakatan Harapan yang telah memberikan undi sebanyak 33 peratus dalam pertandingan tiga penjuru pada PRU14.
Oleh itu kata Aziz, mungkin kini adalah masa bagi Mahathir ‘menutup mulutnya’.
“Bagi saya masa depan adalah dengan PH, kita bercakap mengenai sistem dua parti.
“Saya rasa di Semenanjung, pengundi tidak berminat dengan kuasa ketiga sama ada Pejuang atau sebaliknya,
“Pengajaran yang boleh diambil dari Slim adalah tiada isu mengenai kuasa ketiga. Ini hanya akan memecah undi dan mengelirukan rakyat.
“Saya rasa ini merupakan tanda soal bagi konsep PH plus. Ketika menentang Umno dan BN, rakyat mahukan Pakatan Harapan, titik. Ringkas dan mudah.
“PH ada di sana untuk membantu dan kami tidak terlibat dalam perancangan atau pemilihan calon. Itu sepenuhnya tugas Pejuang,” kata Aziz.
Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu hari ini, dengan majoriti 10,945 undi.
Calonnya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz, 43, menang selepas memperoleh 13,060 undi, manakala pencabarnya dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, meraih 2,115 undi dan bekas guru S. Santharasekaran, 44, memperoleh 276 undi.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Shamsul Ridzuan Idris di pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini.
Shamsul Ridzuan berkata sebanyak 68.40 peratus pengundi keluar mengundi pada PRK itu dengan 327 kertas undi ditolak.
Keputusan malam ini menyaksikan Santharasekaran hilang deposit kerana gagal memperoleh lebih daripada 1/8 jumlah undi yang diterima oleh calon-calon bertanding.
Daftar pemilih DUN Slim melibatkan 22,749 pemilih biasa, 267 pengundi awal serta 78 orang mengundi secara pos. – SM