Nasional

MASA sokong sempadan negara buka segera

INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) menyokong syor pembukaan semula sempadan negara tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin, pembukaan semula sempadan negara secara terancang yang disyorkan oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin dapat memastikan aktiviti ekonomi negara terus kekal berdaya saing.

“Malaysia dan negara lain di rantau ini perlu menyegerakan pembukaan sempadan masing-masing untuk membantu pemulihan ekonomi terutama dalam sektor perdagangan dan pelancongan tanpa meningkatkan risiko kesihatan rakyat.

“Kerajaan perlu mencontohi strategi serta pendekatan yang telah diambil oleh negara-negara lain seperti New Zealand, Australia, Bali (Indonesia) dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa dan terancang bagi merancakkan kembali sektor-sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Bagaimanapun, Azril berkata, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.

Tambahnya, protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin perlu dikuatkuasakan bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron.

“Pembukaan semula sempadan negara juga perlu dilaksanakan secara teliti berpandukan penilaian risiko, selepas diperhalusi dan dibentangkan oleh pihak berkepentingan, antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Langkah ini adalah penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan.

“Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor-sektor ekonomi, terutamanya industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik mampu dirancakkan semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata, ASEAN melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang bakal kuat kuasa 18 Mac ini, mampu memainkan peranan bagi membolehkan gelembung perjalanan pelbagai hala di rantau ini berjalan lancar dalam merancakkan aktiviti ekonomi negara.

Sementara itu, Institut MASA menyeru agar semua pihak terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi SOP yang ditetapkan dari semasa ke semasa dalam menjalani kehidupan harian bagi bersama-sama membantu usaha kerajaan ke arah pemulihan negara. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button