Politik

Masa depan UMNO kini pada rakyat

KEPUTUSAN Majlis Tertinggi (MT) UMNO supaya memutuskan hubungan dengan Bersatu kini meletakkan masa depan  parti itu di tangan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, keputusan MT itu dipersetujui menerusi perbincangan selain pertanyaan berbangkit yang ditujukan kepada parti sebelum ini.

“UMNO ditanya, UMNO berbincang dan akhirnya membuat ketetapan dua perkara. Sewajarnya tiada lagi pertikaian berkenaan halatuju politik UMNO.

“Sekarang ini terserah kepada kepemimpinan dan warga UMNO untuk menjayakan keputusan itu, dengan berusaha memastikan UMNO berada atas landasan kukuh untuk meyakinkan bukan hanya ahli tetapi rakyat bahawa parti ini adalah pilihan terbaik mendepani masa depan negara pasca PRU ke-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, UMNO serta wakilnya dalam badan eksekutif bersedia meneruskan kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional dan memainkan peranan masing-masing demi kemaslahatan rakyat sehingga PRU15.

“Kerana akhirnya, dengan izin Allah, rakyat jua yang akan menentukan nasib semua parti politik di peti undi.

“Dalam konteks politik matang, tentunya UMNO akan menghormati keputusan parti lain seperti mana mereka juga perlu menghormati ketetapan UMNO,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button