Nasional

MASA berharap Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 lebih bermakna

Institut Masa Depan Malaysia (MASA) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-65 kepada seluruh warga Malaysia.

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat yang mencatatkan detik bersejarah apabila pemasyhuran kemerdekaan diisytiharkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Pengertian konsep kemerdekaan telah menjadi pasak perpaduan dalam proses pembinaan negara bangsa sejak sekian lama, seiring dengan aspirasi dan hasrat segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, untuk menikmati kemakmuran secara adil dan saksama.

Ketua pegawai eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata “sebagai negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, Malaysia kekal menjadi sebuah negara yang aman dan harmoni berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.”

“Justeru, dalam menghayati erti kemerdekaan, Agenda Prihatin Rakyat perlu sentiasa menjadi keutamaan pihak kerajaan. Aspek kesejahteraan rakyat terutamanya golongan yang terpinggir harus diberi penekanan khusus ke arah mencapai matlamat menangani jurang kekayaan dan pendapatan, iaitu objektif kedua dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang menjadi aspirasi negara ketika ini.”

Tambahnya lagi, patriotisme tidak mungkin tumbuh daripada retorik dan slogan semata-mata. Dalam menghadapi kepelbagaian cabaran semasa dan masa depan, kepimpinan berintegriti dan beramanah perlu diangkat sebagai nilai utama yang perlu dizahirkan dan menjadi teras budaya masyarakat Malaysia yang bersatu, makmur dan bermaruah.

Hanya dengan menjunjung prinsip integriti dan beramanah, usaha membela kebajikan rakyat dan memajukan negara pasca pandemik dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan saksama.

Beliau berharap Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan lebih bermakna sekiranya setiap warganegara kembali menghayati semangat pejuang kemerdekaan, bersatu hati dan membugar semula rasa cinta akan tanah air demi mencapai wawasan bersama untuk negara.

 

 

 

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button