Marina ingatkan Ronnie, DAP adalah hak semua anak Malaysia
SETIAUSAHA Publisiti Wanita DAP Johor Marina Ibrahim mengingatkan Anggota Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu bahawa DAP adalah hak semua rakyat Malaysia.
Beliau menegaskan orang Cina tidak akan hilang identiti kecinaan hanya kerana makin ramai orang bukan Cina menyertai parti itu.
Begitu juga dengan orang Melayu yang tidak akan kehilangan identiti bangsanya hanya kerana mereka menganggotai DAP.
Marina membidas ucapan Ronnie pada majlis pelancaran buku veteran DAP Liew Ah Kim di Klang bahawa DAP tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik parti itu.
“Pemimpin DAP seperti Ronnie kena sedar bahawa Cina tidak akan hilang kecinaan hanya kerana makin ramai rakan berbilang bangsa yang masuk dalam parti ini. DAP parti berbilang bangsa seperti mana Melayu yang tidak akan hilang kemelayuan jika teguh berdiri di dalam DAP.
“Saya percaya, pemimpin Cina juga menghadapi politik pengapian dan tohmahan yang dimainkan pihak tertentu seperti MCA. ‘DAP tak mampu jaga orang Cina, peruntukan kepada Melayu lebih, dalam Melayu pula sibuk canang DAP hanya jaga kebajikan orang Cina’ walhal kita semua tahu kewujudan kita sebagai parti berbilang bangsa adalah untuk menjaga hak semua kaum,” kata Marina.
Menurut beliau, sebagai pemimpin mereka perlu menggalas tugas untuk menerangkan dan bukan mengikut rentak menghasut.
Marina percaya pemimpin pelbagai bangsa dalam DAP turut mengalami kesukaran seperti mana pemimpin Melayu dalam parti itu yang dipulaukan oleh jiran dan keluarga serta dimaki dan dihina ketika menyampaikan perjuangan DAP.
Tambah beliau lagi, perpaduan dan persefahaman kaum adalah sesuatu yang perlu dididik dan dipupuk bukan melalui pemisahan bangsa.
“Berpuluh tahun kita semua terpisah dengan politik buruk perkauman yang sering di mainkan untuk kepentingan pihak tertentu,ini masanya kita semua berusaha untuk sediakan Malaysia yang lebih baik pada masa akan datang.
“Cina kena fahamkan Cina. Melayu kena fahamkan Melayu. India kena fahamkan India. Bukan termakan dengan agenda hasutan pemisahan pihak tertentu.
“Seperti mana saya percaya Islam itu universal, tiada pemisahan kaum bagi setiap penganutnya. Saya juga percaya politik juga harus sebegitu. DAP adalah hak semua anak Malaysia,” tegasnya.
Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek sebelum ini dilaporkan berkata, parti itu tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.
“DAP adalah parti pelbagai kaum. Parti ini tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik kita.
“Kita harus memelihara budaya parti, serta semangat perlembagaan parti, perjuangan politik pluralistik dan demokratik.
“DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia. Kita perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu yang lain, tetapi kita tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri kita sebagai parti bukan Cina.
“Kamu tidak akan mendapat sokongan orang Melayu dengan pendekatan ini,” kata Ronnie seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.-SM