Nasional

MARA bantu baiki pendawaian elektrik rumah mangsa banjir

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA), menggerakkan sejumlah 280 pelatih dan pelajar GIATMARA dan Institut Kemahiran MARA, IKM, bagi membantu kerja-kerja baik pulih pendawaian elektrik rumah mangsa banjir.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, selain pendawaian elektrik rumah, mereka juga akan membantu membaik pulih kerosakan kecil kenderaan, peralatan elektrik dan elektronik serta kerja selenggara perlindungan kerosakan.

“Kita telah mula menggerakkan inisiatif MARA Prihatin melalui GIATMARA serta Institut Kemahiran MARA (IKM) ini dengan kemahiran yang ada pada pelatih dan pelajar dari kedua-dua institusi tersebut mulai hari ini.

“Kita memahami kesukaran penduduk berkaitan masalah pendawaian elektrik yang rosak dan berisiko dalam bahaya selepas rumah ditenggelami air banjir selain kesukaran dari segi kerja-kerja membersihkan kawasan rumah dan juga premis- premis bangunan awam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Antara pelatih dan pelajar yang terlibat adalah daripada Program Diploma Kompetensi Elektrik (DCS) dan Sijil Teknologi Kimpalan (STK).

Jelas Mahdzir, lokasi tumpuan utama sukarelawan GIATMARA dan IKM itu adalah di sekitar Taman Sri Nanding, Hulu Langat dan Padang Jawa, Klang.

Program Khidmat Masyarakat MARA Prihatin@KPLB itu diketuai oleh Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun yang turun padang bersama pegawai kanan MARA, GIATMARA serta IKM di Padang Jawa hari ini.

“Mereka ini akan mula bergerak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama (SRA) Padang Jawa, Klang dan ke lokasi seterusnya mengikut kesesuaian lokaliti memandangkan sebahagian besar kawasan masih belum boleh dimasuki oleh orang awam kerana paras banjir yang masih belum surut.”

Selain sukarelawan yang berkemahiran dalam kerja-kerja pembaikan, MARA turut menggerakkan lebih 300 sukarelawan warga kerjanya, anak-anak syarikat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pelajar dibawah kawal selianya.

Mereka dihantar ke lokasi banjir di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan sejak beberapa hari lalu bagi membantu mangsa bencana banjir luar biasa yang melanda kali ini.

“MARA juga telah mengenal pasti 2,008 warga kerja termasuk kakitangan anak-anak syarikatnya dan juga pelajar dibawahnya yang menjadi mangsa banjir. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button