RAKYAT Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan terkandas di beberapa negara seperti Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja akan dibawa pulang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha-usaha sedang dilaksanakan melalui semua saluran yang ada dan Kerajaan akan memastikan mereka dibawa pulang dengan selamat.
“Pada masa yang sama, saya menasihatkan seluruh Keluarga Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara.
“Keluarga Malaysia perlu menyemak kesahihan tawaran kerja di luar negara melalui Wisma Putra, bagi mengelakkan diri daripada terjebak menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam satu kenyataan mengulas reaksi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
“Kerajaan komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, ekoran sindiket penipuan kerja seperti yang disuarakan oleh MMC dan MHO.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) telah pun mengadakan perjumpaan dengan Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim serta ahli keluarga mangsa-mangsa sindiket bagi mendapatkan maklumat terperinci, untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok,” katanya. – SM
Artikel berkaitan > 4 daripada 16 rakyat Malaysia di Kemboja yang ditipu pekerjaan sudah kembali